Dzulkifli Mahmud
Dzulkifli Mahmud

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), Datuk Dzulkifli Mahmud berkata, tahap kesedaran PKS terhadap kepentingan tanda dagangan, paten dan hak cipta masih rendah.

Kata beliau, jika syarikat tidak melindungi IP ketika memasuki pasaran negara lain, perniagaan mereka berkemungkinan besar berdepan pelbagai cabaran daripada pesaing seperti jenama terdedah kepada peniruan.

“Dalam era ekonomi digital penuh persaingan ini, syarikat perlu sedar bahawa IP adalah penting sebagai cara melindungi inovasi dan menghasilkan nilai termasuk permohonan pinjaman, eksport dan perjanjian perdagangan bebas.

“Sebahagian besar PKS masih tidak mengerti kepenti­ngan perlindungan IP ini mungkin kerana mereka tidak mene­rima pendedahan. Je­-
nama boleh ditiru ber-
gantung kepada sesiapa yang mendaftar IP terlebih dahulu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada seminar Keberkesanan dan Pengurusan Cukai IP, Strategi Bagi Mencapai Kejayaan Di Peringkat Global Daripada Perspektif PKS anjuran Matrade di sini hari ini.

Yang turut hadir Timbalan Ketua Pengarah Harta Industri, Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), Abdul Aziz Ismail; Pengarah Urusan Adastra IP (M) Sdn. Bhd., K. Mohan dan Rakan Pengurusan YYC Advisors, Yap Shin Siang.

Menurut data MyIPO, antara tahun 1986 hingga September lalu, sebanyak 16,075 permohonan daripada syarikat tempatan telah diterima bagi perlindungan IP, namun hanya 3,608 daripadanya diluluskan.

Dzulkifli berkata, angka tersebut jauh berbeza jika dibandingkan dengan permohonan daripada jenama luar negara di Malaysia, sebanyak 133,368 dengan kira-kira 54,789 telah diluluskan.

Ditanya mengenai punca PKS tempatan kurang berminat untuk mendaftar IP, beliau berkata, kebanyakan mereka beranggapan bahawa proses permohonan adalah rumit dan sukar kerana memerlukan pelbagai dokumen.

“Semua proses dalam memohon IP adalah mengikut standard dan garis panduan di peringkat antarabangsa. Proses tersebut perlu dalam memastikan jenama syarikat dapat dilindungi pada masa depan,” katanya.