Bakal diadakan di Hotel Primula, Kuala Terengganu, Terengganu, forum berkenaan merupakan program kerjasama antara MARA dan Organization for Industrial, Spiritual and Cultural Advancement (OISCA) International Chapter.

Menurut Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, forum tersebut dapat melonjakkan lagi peluang-peluang perniagaan serta perkongsian ilmu serta kepakaran dari negara luar kepada usahawan Malaysia.

“Program ini bertujuan menye­dia­­kan platform bagi keraja­an, ahli perniagaan, ahli akade­mik dan masyarakat awam un­tuk membincang strategi dalam memperkukuh­kan kerjasama dan integrasi eko­­nomi serta per­kongsian perniaga­an serantau.

“Susulan keja­ya­­an penganju­ran kali pertama pada 2012, forum ini akan membuka pe­­­luang kepada pe­serta untuk me­­­raih manfaat globalisasi, terma­suk mengambil bahagian dalam nilai rantaian perdagangan global, teknologi inovasi dan seterusnya membentuk rangkaian perkongsian pelaburan bersama negara-negara peserta OISCA,” katanya.

Lebih 50 orang usahawan dari 36 buah negara dan 100 usahawan bumiputera dijangka menyertai forum ini.

Bertemakan Honoring The Past, Treasuring The Present, Shaping The Future, forum ini membariskan ahli panel berpengalaman seperti Timbalan Pengarah Unit Perancangan Ekonomi Negeri Terengganu, Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak dan Pengurus ADABI Consumer Industries Sdn. Bhd., Mohamad Zaki Abd Rajak.

Ismail Sabri menambah kata, forum kali ini menumpukan kepada industri pelancongan, makanan dan minuman, kraf, minyak dan gas, maritim dan perkhidmatan terma­suk konsultasi halal yang mana pemilihan industri adalah berdasarkan kekuatan kegiatan ekonomi di Pantai Timur dan juga keperluan usahawan luar negara terutamanya Jepun.

“Forum ini mampu mewujud­kan hubungan perniagaan antara usahawan Jepun dengan usahawan bumiputera, bahkan boleh di­perkukuhkan lagi dengan per­bincangan lebih teliti mengikut ke­per­luan dan kemam­puan syarikat-syarikat berke­naan melalui business matching yang dirancang.

“Oleh itu, saya menyeru usahawan bumiputera untuk memanfaatkan forum ini dengan mene­roka perniagaan yang lebih luas, di samping mendapatkan maklumat mutakhir melalui perbincangan-perbincangan yang diadakan,” katanya.

Katanya, selaku ahli OISCA sejak 1967, MARA telah memainkan pera­nan yang signifikan dalam membantu organisasi ini melaksanakan program dan aktiviti terutamanya dalam bidang kerohanian, kebudayaan dan latihan industri bagi menyumbang ke arah keamanan dan kemakmuran dunia.

“Melalui kerjasama ini, ramai pelajar lepasan Institut Pendidikan Teknikal dan Vokasional MARA mendapat manfaat melalui pe­luang pendedahan latihan industri di Jepun, di samping terlibat dalam program pembangunan usahawan bumiputera melalui pelbagai aktiviti seperti forum yang dianjurkan ini.

“Saya menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Terengganu atas soko­ngan dan juga kerjasama erat yang diberikan dalam usaha merealisasikan forum yang memberi banyak manfaat kepada usahawan kita,” ujarnya.