Ashran Ghazi
Ashran Ghazi

Ketua Pegawai Eksekutif Ma­GIC, Ashran Ghazi berkata, pe­ngenalan terhadap program CER Circle dan MaGIC Activate penting bagi meningkatkan lagi penyertaan syarikat korporat dan swasta sekali gus dapat melonjakkan pembangunan ekosistem keusahawanan dalam negara.

“Program CER Circle merupakan platform berkonsep keahlian yang menghubungkan syarikat korporat dengan komuniti perniagaan baharu (startup) dan membantu sektor korporat memanfaatkan teknologi baharu untuk mengubah pasaran sedia ada.

“Sementara program MaGIC Activate pula merupakan platform untuk membantu syarikat dan organisasi dalam membantu me­nganjurkan cabaran inovasi bagi menarik penyertaan lebih banyak usahawan startup,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis pelancaran MaGIC CER Circle dan MaGIC Activate di sini hari ini.

Menurut Ashran, sebagai permulaan sebanyak 22 organisasi bersedia untuk bekerjasama de­ngan MaGIC bagi menjayakan program tersebut.

Dalam pada itu katanya, menerusi inisiatif tersebut pihaknya yakin dalam tempoh dua tahun lagi dapat menjana jumlah tambah nilai sebanyak RM100 juta hasil daripada program cabaran inovasi yang disediakan organisasi tersebut kepada lebih 3,000 startup.

Sementara itu, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ahmad Maslan dalam ucapannya berkata, program tersebut penting bagi memupuk budaya inovasi dalam kalangan penduduk di negara ini menjelang 2020.

Sehubungan itu, beliau berharap lebih banyak syarikat swasta dan korporat menyertai program tersebut di masa depan.

“Menerusi program CER, setiap organisasi yang terlibat dapat menyumbang lebih banyak perkara berbanding program tanggungjawab sosial korporat (CSR) khususnya dalam memacu pemba­ngunan ekonomi negara pada masa hadapan," katanya.