Ketua Pegawai Eksekutif MaGIC, Ashran Ghazi berkata, ASEAN Activate merupakan satu inisiatif baharu daripada cabang Tanggungjawab Keusahawanan Korporat (CER) MaGIC yang bertujuan untuk mencipta usaha bersepadu dalam membantu Asia Tenggara memacu agenda inovasi.

Katanya, inisiatif berkenaan akan dijalankan melalui empat cara utama iaitu mewujudkan rangkaian CER serantau, memudahkan perkongsian dan transaksi merentas sempadan, menyediakan akses pasaran serantau untuk usahawan dan usahawan permulaan serta memupuk ekosistem inovasi ASEAN yang bersatu padu.

“Bersempena dengan ulang tahun ke-50 ASEAN tahun ini, kita perlu merancang apa yang boleh dilakukan bagi rantau ini supaya kekal relevan, berpengaruh dan berdaya saing untuk 50 tahun akan datang.

“Adalah penting untuk memupuk budaya inovasi daripada awal bagi membolehkan kita bersedia untuk ekonomi masa depan. Inilah sebabnya kami teruja untuk memimpin dalam menyatukan komuniti perniagaan Asia Tenggara supaya bersama-sama berkembang dengan lebih maju serta merealisasikan potensi in­o­vasi yang sebenar,” katanya da­lam kenyataan di sini.

ASEAN Active menampilkan komuniti usahawan dari Vietnam, Indonesia, Thailand, Laos, Filipina, Kemboja dan Malaysia.

Antara komuniti usahawan yang terlibat termasuklah Topica, Saigon Innovation Hub, Viet Youth Entrepreneur, Kejora, Y Digital, C-ASEAN, Hubba dan TOH-LAO.

Tambah Ashran, melalui ASEAN Activate, rakan kongsi aktif tempatan akan bekerjasama dengan MaGIC untuk menjalankan Cabaran Inovasi Korporat Permulaan di negara masing-masing.

“Mereka kemudiannya akan melalui cabaran dalam sektor korporat, menjemput syarikat permulaan untuk terlibat dalam platform masing-masing dan mengadakan perjumpaan bagi mengemas kini perkembangan,” katanya.