Norita Ja’far

Ketua Pegawai Operasi MaGIC, Norita Ja’far (gambar) berkata, MaGIC menghimpunkan banyak sumber terdiri dari rakan kongsi agensi, serta komuniti bagi membina hab keusahawanan yang menonjol di rantau ini dan mewujudkan sebuah ekosistem yang kolaboratif.

“Di MaGIC, kami membantu mengendalikan aliran maklumat antara pengusaha dan lebih 70 agensi-agensi kerajaan di yang menyokong mereka. Matlamat kami adalah untuk mencapai sebuah ekosistem yang mampan dan berdaya saing,” katanya di sini hari ini.

MaGIC dilancarkan secara rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama pada April 2014 dengan berperanan menyokong komuniti usahawan, meningkatkan ekosistem usahawan baharu serta memberi inspirasi kepada usahawan lain melalui kejayaan mereka.

September lalu, program Gabungan Rakan Usahawan Aspirasi Terhebat (GREAT 2014) diadakan di MaGIC di bawah inisiatif Unit Strategik Kebangsaan, dan dirasmikan Perdana Menteri. Ia merupakan platform kepada usahawan tempatan untuk berinteraksi, mempelajari dan mengembangkan perniagaan mereka melalui bengkel yang meliputi topik seperti Usahawan Teknologi Wanita, Seni kreatif, Perusahaan Sosial, ‘Hackathons’, ‘Halal Tech’ serta sesi perkongsian oleh usahawan tempatan yang berjaya.

Dalam program itu, sebuah platform digital MaGIC Central turut dilancarkan dan berperanan sebagai sebuah laman sumber yang menghimpunkan lebih 700 produk dan perkhidmatan yang ditawarkan 180 agensi bagi menyokong pembangunan usahawan.

Pada Oktober lalu, Akademi Startup MaGiC (MSA) dilancarkan dan MaGIC turut menganjurkan bengkel lima hari dan sebuah pameran kerjaya dengan penyertaan lebih 600 usahawan.

“Terkini, MaGIC menganjurkan program ‘[email protected]’ yang mengumpulkan 57 peserta dari 35 buah syarikat pemulaan yang mengambil bahagian dalam program yang selama dua minggu di Lembah Silikon. Peserta diberi peluang bertemu dan meluaskan rangkaian dengan nama-nama besar seperti Google, Envoy, Bespoke dan Y-Combinator,” kata Norita.