Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Dr. Ismail Bakar berkata, antara negara yang berminat ialah Singapura dan Brunei yang melihat potensi produk tersebut untuk berkembang.

Beliau berkata, permintaan terhadap madu kelulut dari negara itu dijangka dapat dipenuhi selepas ketetapan standard produk berkenaan diputuskan pada suku ketiga tahun depan.

Menurutnya, Institut Penyeli­dikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) sedang menja­lankan kajian bagi menetapkan standard termasuk kawalan mutu, ketulenan dan kandungan nutrien dalam produk tersebut.

“Madu kelulut yang mempunyai khasiat baik dan sudah dijenamakan sebagai superfood pertama negara di peringkat antarabangsa sememangnya mempunyai potensi besar untuk berkembang.

“Pada masa ini, terdapat 402 pengusaha madu kelulut di selu­ruh negara dan kita jangka selepas penetapan standard itu lebih ramai yang berminat untuk menceburi bidang berkenaan,” katanya di sini semalam.

Madu kelulut dikatakan mempunyai kadar nutrien yang tinggi dan mengandungi fruktosa, glukosa, maltosa selain asid fenolik yang merupakan bahan antioksidan serta mudah serap berbanding madu lain.

Bagi menghebahkan kebaikan madu kelulut di seluruh negara, program Kelulut Walk 2016 dianjurkan dengan seorang juruteknik dari Terengganu, Sabri Ali, 54, berjalan secara solo sejauh 2,000 kilometer merentasi 14 negeri selama 50 hari.