Mula menternak kelulut secara kecil-kecilan pada 2014, Haris Mohamad, 46, kini mempunyai 100 sarang madu kelulut di sekitar kawasan rumahnya iaitu kelulut dari jenis Itama dan Thoracica.

Menurut Haris, penglibatannya dalam perniagaan itu setelah melihat potensi madu kelulut yang sangat positif di pasaran tempatan dan luar negara.

Katanya, apa yang menarik madu kelulut mempunyai khasiat tiga kali ganda berbanding madu lebah-lebah yang lain.

“Mungkin ramai yang beranggapan ternakan madu kelulut ini satu perusahaan yang mudah tetapi jika tidak mempunyai ilmu tentang penjagaannya, ia akan menjadi kerja yang sukar,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Menurut Haris, bagi memastikan perusahaannya dijalankan secara sistematik, dia mengikuti beberapa kursus khas untuk meningkatkan produktiviti serta kaedah pengkormersialan madu kelulut.

Katanya, dia menjalani kursus asas perusahaan madu kelulut di Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Petani Malaysia (Mardi) dan beberapa kursus lain untuk pemasaran produk secara dalam talian.

Jelasnya, dia juga banyak berkongsi ilmu dengan para penternak kelulut yang lain dan dengan cara itu, pengetahuannya mengenai kelulut semakin bertambah.

Katanya, rasa dan khasiat madu bergantung kepada pe­ngaruh persekitaran sesuatu kawasan terutama jenis bunga yang menjadi sumber makanan koloni kelulut.

“Rasa madu kelulut berbeza mengikut spesis dan sumber makanan diperolehnya. Madu kelulut diternak di ladang ra­sanya manis manakala kelulut yang diternak di ladang herba menghasilkan madu yang agak masam,” katanya.

Mengenai cara mengambil madu kelulut, Haris berkata, dia menggunakan penyedut hampagas bagi membantu mempercepatkan proses pengambilan

madu.

Katanya, untuk mendapatkan madu yang lebih banyak, lebah kelulut perlukan kawasan yang mempunyai bunga yang banyak.

“Jika musim hujan, penghasilan madu agak kurang memberangsangkan kerana lebah kelulut kurang aktif,” katanya.

Jelas Haris, dia kini mula memberi fokus kepada pro­duk hiliran berasaskan le­bah kelulut seperti sabun organik dan mi­nyak terapi yang dihasilkannya sendiri.

Jelasnya, sabun organik yang dihasilkan melalui kajian yang dilakukannya sendiri telah mendapat respon positif daripada pengguna yang telah membelinya.

“Saya sedia untuk bersaing de­ngan produk-produk kesihatan yang lain dan yakin produk saya yang dihasilkan berasaskan madu kelulut bakal mendapat sambutan,” katanya.