Lebih dikenali sebagai kulat susu harimau sejak 400 tahun lalu, cendawan ini banyak ditemukan di hutan Malaysia terutama sekitar Banjaran Titiwangsa.

Tumbuhan yang nama saintifiknya, Lignosus Rhinocerus dan turut dikenali Polyporus Rhinocerus ini adalah daripada keluarga Polyporaceae. Tumbuhan ini boleh dikategorikan herba bernilai tinggi kerana memiliki khasiat yang sangat bermanfaat untuk semua.

Ketua Pegawai Eksekutif LiGNO Biotech Sdn. Bhd., Ng Szu Ting berkata, kesukaran mendapatkan tumbuhan itu mendorong pihaknya menanam cendawan susu harimau menggunakan teknologi sistem tanaman dalam bilik yang dikawal sejak 2002.

 “Tanaman ini hidup dengan baik pada medium penanaman yang dirumus khas sehingga dapat membentuk sclerotia yang setaraf dengan kualiti cendawan susu harimau liar,” katanya kepada S2.

Menurutnya, melalui teknologi yang digunakan, pihaknya dapat mengawal  pertumbuhan payung cendawan susu harimau. Khasiat tumbuhan itu terletak pada ubi, justeru tanaman tersebut dituai sebelum batang dan payung tumbuh mekar bagi memperoleh nilai tertinggi untuk tujuan perubatan.

“Teknologi ini mampu meningkatkan kapasiti pengeluaran sebanyak 500 kilogram sebulan dalam hanya satu bilik berkeluasan 243 meter persegi. Bilik ini turut memuatkan 1,000 kotak dengan setiap kotak mengandungi 50 gram cendawan,” katanya.

Sebanyak tiga produk menggunakan cendawan susu harimau dihasilkan iaitu Tiggy Cocoa (kanak-kanak), Tigerus Scloretia (sesuai untuk batuk bagi orang dewasa) dan Tea Bags (dewasa) yang sesuai digunakan pesakit batuk, selesema, demam dan lemah badan.

“Cendawan susu harimau mempunyai tiga bahagian utama iaitu payung (cap), batang (stem) dan ubi (sclerotium). Bahagian yang digunakan adalah ubi kerana segala nutrisi tersimpan di situ.

“Jadi, menerusi produk jenama Tigerus, kami merupakan satu-satunya pemegang rekod pertama dalam The Malaysia Book of Records sebagai pengeluar produk cendawan susu harimau di negara ini,” katanya.

Jelasnya, serbuk cendawan susu harimau dan produk yang dihasilkan berjaya dieksport ke Singapura, Asia Barat, China, Jepun dan Amerika Syarikat selain mendapat pengiktirafan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi.

“Hasil kajian saintifik dari beberapa universiti seperti Universiti Nottingham, Universiti Malaya (UM), Universiti Macau dan Universiti Sains Malaysia (USM) menunjukkan cendawan susu harimau selamat dimakan tanpa kesan sampingan dan sesuai dijadikan sebagai makanan tambahan berkhasiat untuk menguatkan sistem imunisasi badan.

“Hasil kajian menunjukkan cendawan istimewa ini juga mengandungi ciri-ciri antiradang, antioksidan, antialahan dan antiasma serta mampu melegakan masalah ekzema, sakit sendi, selain mengurangkan kesan sampingan rawatan kemoterapi pesakit kanser,” katanya.

Szu Ting memberitahu, beliau menggunakan laman sosial Facebook: Tigerus dan laman web, ligno.com.my untuk menjual produk tersebut secara dalam talian.

“Kita mempromosikan produk yang mula mendapat sambutan ini menggunakan media sosial bagi membolehkan pengguna  mengetahui lebih lanjut mengenai produk tersebut.

“Malah, 75 peratus daripada pengguna yang mengambil produk ini secara berterusan dapat melegakan penyakit yang mereka hadapi,” katanya.
Sehingga kini, sebanyak 60,000 botol produk telah dijual secara dalam talian.