Bagi sebahagian anak muda, mereka memanfaatkan sepenuhnya teknologi dan media sosial untuk mencari makan.

Berbekal minat, Heliana Mohd. Arshad, 34 atau lebih mesra de­ngan panggilan Lia belajar membuat kek melalui media sosil.

“Saya sememangnya suka membuat kek dan pencuci mulut namun tidak pernah terfikir untuk menjualnya kepada orang lain.

Bagaimanapun, sokongan daripada keluarga membuka mata kepadanya untuk menjadikan minat itu sebagai sumber pendapatan sampingan.

“Bermula pada saat itu, saya mula mengambil tempahan kepada kawan-kawan serta ahli ke­luarga. Alhamdulilah, berkat sabar tahun demi tahun permintaan daripada pelanggan semakin meningkat,” katanya.

Anak kelahiran Klang itu memberitahu, dalam usaha untuk me­ngukuhkan perniagaan dan menambah ilmu, dia me­ngambil keputusan menghadiri kelas menghias kek .

“Saya tidak pandai untuk menghasilkan kek yang cantik, jadi peluang berkenalan de­ngan seorang kawan yang mahir dalam menghias kek tidak dilepaskan begitu sahaja.

“Setiap minggu pasti ada tempahan sama ada daripada pe-langgan tetap atau baharu sehingga ada ketikanya terpaksa menolak tempahan,” katanya yang bercita-cita untuk membuka kedai kek sendiri satu hari nanti.

Ujar Lia lagi, dia lebih memberi keutamaan kepada kualiti dan menjaga kepercayaan yang diberikan daripada pelanggan.

“Jika tidak mampu me­nyiapkan tempahan, lebih baik saya menolaknya de­ngan cara yang baik,” katanya yang juga suka kepada aktiviti-aktiviti lasak se­perti mendaki gunung.

Tambahnya, aktiviti itu dilakukan pada setiap hujung minggu bersama rakan-rakan untuk melihat keindahan alam semula jadi.