Ahli Parlimen Sungai Besar, Budiman Mohd. Zohdi berkata, program anjuran Majlis Belia Selangor (MBS) dengan kerjasama Jobs Malaysia dan Majlis Belia Daerah (MBD) Sabak Bernam itu bertujuan untuk memberi peluang kepada golongan sasaran mendapatkan pekerjaan.

“Program ini membuka peluang pekerjaan kepada para belia yang mana mereka boleh mendaftar dan menghantar resume dan sijil-sijil mereka melalui Jobs Malaysia.

“Difahamkan terdapat lebih 40 syarikat mengambil bahagian dalam program ini yang diselaraskan oleh pihak Jobs Malaysia.

“Pihak Jobs Malaysia akan membuat padanan pekerjaan dan bidang yang sesuai mengikut kriteria ditentukan majikan berdasarkan kelayakan pemohon sama ada di peringkat profesional dan bukan profesional,” katanya di sini.

Pada masa sama, Budiman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) turut menyatakan beliau turut melancarkan Sukarelawan Cari Kerja sebagai inisiatif membantu golongan belia di kawasan Parlimen itu.

“Sukarelawan Cari Kerja ini akan diselaraskan oleh MBD Sabak Bernam. Mereka akan membantu mengumpul data belia yang memerlukan pekerja sebelum dihantar kepada Jobs Malaysia untuk diproses,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE.