Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, usaha itu lebih berkesan dengan penyampaian dan teknik pembelajaran yang baik dan secara terus kepada penonton sekali gus menarik minat pelbagai golongan.

Selain itu katanya, melalui rancangan realiti juga, ia dapat menarik minat dan memberi idea kepada mana-mana pihak yang berminat memulakan atau mengembangkan perniagaan mereka.

“Program realiti seumpama ini turut memberi cabaran kepada peserta melalui pendekatan yang dinamik mengikut keperluan dan persekitaran pembangunan usahawan semasa, jadi secara tidak langsung dapat menarik penonton mencuba bidang perniagaan.

“Tambahan pula kita tidak akan membiarkan mereka begitu sahaja,” katanya ketika ditemui dalam majlis penyampaian hadiah kepada pemenang Program Rural Business Challenge (RBC) 2017 di sini, hari ini.

Malah katanya, kementerian akan bekerjasama dengan­ agensi lain supaya produk pemenang rancangan realiti dapat dipasarkan ke peringkat global pada masa akan datang sekali gus menjana pendapatan yang baik,.

Program RBC dikenali sebagai RBC-Mencari CEO Desa disertai seramai 27 orang peserta yang terdiri daripada 18 peserta kategori pengembangan perniagaan dan sembilan peserta kategori idea perniagaan terpilih dalam pertan­dingan pada tahun ini.

Kesemua mereka merupakan antara 1,134 peserta dari seluruh negara yang telah mengemukakan borang penyertaan dan hadir ke sesi uji bakat yang dijalankan di enam zon.

Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Borhan Dolah.

Pemenang utama ranca­ngan RBC-Mencari CEO Desa yang berjaya membawa pulang geran sebanyak RM1 juta dimenangi oleh Mohd. Azrie Mat Nor dengan perniagaan pemprosesan produk hiliran berasaskan kelapa.

Bagi pemenang tempat kedua dimenangi oleh Mohd. Yusof Umar yang berjaya membawa pulang geran sebanyak RM700,000 manakala tempat ketiga dimenangi oleh Mohd. Suhaidi Jaapar de­ngan hadiah geran sebanyak RM400,000.