Namun, kesukaran dihadapi masyarakat Muslim untuk mencari sajian dan produk Korea yang benar-benar halal dan autentik sentiasa berlaku. Apatah lagi, bahan asas masakan itu tidak dihasilkan di negara ini dan banyak diimport dari negara berkenaan.

Menyedari kesukaran itu dan berbekalkan pengalaman serta perkongsian resipi daripada keluarga angkat dan rakan-rakan di Korea Selatan, Nur Faizah Md. Salleh, 33, dan suaminya Mohd. Muzmir Mustaffa berjaya menghasilkan sendiri kimchi dan gochujang (pes Korea) yang autentik dengan menggunakan bahan yang halal, selain tidak melibatkan penggunaan alkohol yang menjadi bahan asas untuk proses fermentasi atau penapaian.

Menepati kehendak pengguna yang majoritinya beragama Islam, tidak hairanlah pasangan ini sering tidak menang tangan setiap kali menerima tempahan secara dalam talian daripada pelanggan.

Bahkan menerusi perkongsian tip, panduan dan resipi sajian Korea di dalam akaun laman Facebook mereka, Faiza.Amer Halal Korean Kitchen, mereka telah berjaya menarik hampir 20,000 pengikut.

Meskipun kimchi dan gochujang yang dihasilkan itu tidak melibatkan penggunaan bahan 100 peratus sama seperti yang dihasilkan di Korea, namun rasanya masih tetap autentik.

Ini terbukti apabila kualiti kedua-dua produk tersebut diperakui selebriti Master Chef Korea, Suh Tai Hwa ketika merasai sendiri produk buatan pasangan suami isteri ini dalam program dokumentari Halal Korean Food terbitan saluran televisyen Korea, KBS.

Ditanya bagaimana permulaan idea menjual kimchi dan gochujang, menurut Nur Faizah, segala-galanya bermula ketika dia mengandung anak pertama pada 2009.

“Pada masa itu, saya mengidam nak makan kimchi. Namun, saya tidak jumpa rasa kimchi yang sama dengan kimchi yang saya pernah makan di Korea dahulu.

“Memandangkan saya pernah belajar buat kimchi dengan ibu angkat ketika belajar bersama suami di Korea, jadi saya pun cuba buat kimchi sendiri.

“Pada peringkat permulaan, saya gunakan bahan-bahan tempatan namun, rasa kimchi yang dikehendaki tidak menjadi. Akhirnya, saya guna chilli flakes buatan Korea, di samping bahan-bahan lain yang hampir sama dengan produk di negara itu.

“Apabila menjadi, saya pun buatlah kimchi setiap bulan sebagai makanan sendiri. Selain itu, saya juga gemar memasak sajian makanan Korea yang lain, yang saya pelajari dari blogger masakan negara itu.

“Memang banyak tiru masakan mereka. Memandangkan saya dan suami pernah duduk lama di Korea, jadi saya sering memasak sajian Korea.

“Setiap masakan, saya kongsi di Facebook. Jadi, apabila saya memuatnaik gambar kimchi yang saya buat sendiri di dalam Facebook, ramai yang minta saya jual kepada mereka. Malah ada yang sanggup beli walaupun harganya mahal,” katanya.

Pada ketika itu, Nur Faizah sudah berhenti kerja dan mula belajar menjahit. Namun, disebabkan beliau lebih suka memasak, akhirnya pada September 2014, Nur Faizah mula menjual kimchi selepas menerima banyak permintaan.

“Sebelum itu, saya memang dah jelaskan kepada pelanggan tentang bahan yang saya guna adalah separa organik.

“Sayur-sayuran saya perolehi dari Cameron Highlands dan bahan lain seperti gula perang yang saya guna juga adalah organik. Jadi, harga memang mahal sedikit namun, saya masih tetap menerima permintaan,” katanya.

Selepas kimchi, Nur Faizah dan suami kemudian mempelajari cara membuat pes gochujang.

“Gochujang merupakan salah satu produk Korea yang mendapat sambutan hangat kerana ia antara bahan asas dalam masakan Korea. Namun, agak sukar untuk mencari yang halal di sini, disebabkan kebanyakan pes di pasaran mengandungi alkohol,” katanya.

Menurutnya, proses untuk membuat gochujang bukanlah sesuatu yang mudah kerana untuk mendapatkan rasa pes yang asli, kita perlu menggunakan bahan-bahan tertentu dan melalui proses penapaian mengandungi alkohol.

Atas inisiatif pasangan suami isteri ini, mereka nekad mempelajari sendiri proses pembuatannya dengan menggunakan bahan halal.

“Saya dan suami menghubungi rakan kami di Korea yang beragama Islam dan bertanyakan sendiri tentang resipi untuk membuatnya. Sejak itu, kami mula menghasilkan gochujang dengan menggunakan bahan halal,” katanya.

Selain kimchi dan gochujang, produk Korea lain yang turut dijual adalah chilli flakes dan teokpokki (kek beras) serta rumpai laut kering.