Pengarahnya, Yusoff Mohamed, 36, memberitahu, bagi tujuan tersebut pihaknya merancang untuk melabur kira-kira RM6 juta hingga RM7 juta bagi mendapatkan mesin dan peralatan tambahan.

Beliau yakin dengan latar pengalaman, syarikat itu sudah berada di landasan yang tepat bagi pengembangan termasuk dalam industri hiliran dan mampu menghadapi kekangan permasalahan dalam industri berkenaan.

Menurut beliau, lazimnya ma­salah yang dihadapi oleh pengusaha bumiputera adalah untuk mendapatkan sumber kewangan yang besar, bekalan balak berkualiti yang berterusan dan penggunaan teknologi serta kemahiran yang sekali gus menjejaskan daya saing.

“Dengan adanya tiga ‘line' pengeluaran kayu gergaji kelak di tapak seluas hampir tujuh hektar, pengeluaran dapat ditingkatkan sekali ganda daripada 1,000 tan metrik kepada 2,000 tan metrik sebulan sekali gus mampu melonjakkan perolehan yang kini dalam lingkungan RM15 juta hingga RM20 juta setahun.

“Pengembangan itu kelak akan turut membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada anak-anak tempatan yang kini terbatas kepada 120 orang dan akan diasuh sebagai tenaga kerja mahir,” ujarnya ketika ditemui di kilang KTESB di Kawasan Perindustrian Wakaf Tapai di sini semalam.

Menurut Yusoff, pihaknya menyasarkan penguasaan 20 peratus pasaran dalam negeri ini di samping turut mengeksport sendiri produk ke luar negara yang selama ini dilakukan oleh syarikat lain ke Dubai, Belanda dan India.

Syarikat berkenaan katanya, ditubuhkan 10 tahun lalu dengan pelaburan sebanyak RM10 juta, lanjutan daripada perusahaan kecil tradisi keluarga yang bermula pada tahun 1976 di Bukit Diman, Hulu Terengganu dengan penglibatan hanya dalam pembuatan palet.

Beliau memberitahu, setelah meneliti perusahaan perkayuan di luar negara, pihaknya memberanikan diri untuk beralih daripada penggunaan mesin dan kaedah konvensional kepada berteknologi tinggi keluaran Turki.

“Kami tertarik dengan produk teknologi negara itu yang boleh dikendalikan secara `remote' dan tidak lagi memerlukan banyak tenaga kerja, tahap bising yang rendah dan senang ditangani dalam mengeluarkan kayu gergaji mengikut saiz tepat.

“Malah kita dapat mengurangkan pembaziran kerana mesin yang kita gunakan meningkatkan produktiviti dengan menghasilkan kayu gergaji berkualiti hingga lebih 75 peratus daripada setiap satu tan balak,” ujar Yusoff.

Katanya, dengan kualiti itu, banyak syarikat pembalakan turut menggunakan khidmat KTESB bagi menghasilkan kayu gergaji yang melalui proses pengeringan dan terawat mengikut spesifikasi yang ditetapkan oleh Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB).

“Kita juga dalam proses untuk memesatkan industri hiliran dengan produk tanggam dan pertukangan termasuk kerusi meja, pergola, pintu, buai gazebo, rak bunga di samping produk Sistem Binaan Industri (IBS). Kita mahu kelak KTESB dijenamakan sebagai simbol kepada produk kayu berkualiti dengan harga berpatutan,” ujarnya.