Dia yang merupakan seorang jurutera mekanikal menceburkan diri dalam perniagaan secara dalam talian dengan menjual barangan kraf tangan dan cenderamata.

Menurutnya, perniagaan itu diusahakan secara sampingan sejak tahun 2008 ekoran minatnya yang mendalam dalam menghasilkan rekaan grafik.

“Hobi saya ketika itu adalah untuk menghasilkan pelbagai rekaan grafik yang sesuai dijadikan kraf tangan sama ada untuk kegunaan harian mahupun sebagai perhiasan.

“Bermula dari situ, saya melihatnya sebagai satu peluang perniagaan sebelum mula memasarkan produk saya secara online,” kata pemuda berasal dari Pontian, namun kini menetap di Skudai, Johor Bahru.

Khairul Adzwan memberitahu, antara produk yang dihasilkan dengan jenamanya 'KRLbrands' termasuk beg, bingkai gambar dan bantal.

Selain menyediakan pelbagai produk untuk pilihan pelanggannya, pembeli juga boleh memesan produk mengikut kehendak mereka.

"Saya memilih perniagaan ini kerana dapat menguji kreativiti dalam menghasilkan pelbagai produk yang bersesuaian.

“Selain dihasilkan menggunakan material baharu, ada produk KRLbrands dibuat menggunakan barangan terpakai. Antara barangan terpakai yang digunakan termasuk lebihan kain ataupun botol terpakai seperti botol kicap,” katanya yang mendirikan rumah tangga dengan Nur Hidayah Abdu Bakar, 28, pada tahun 2015.

Bercerita mengenai aspirasi masa depan, Khairul Adzwan mengakui selepas hampir 10 tahun menjalankan perniagaan secara sampingan, dia menyimpan hasrat untuk menjadikan perniagaan itu sebagai karier utama.

“Saya berhasrat untuk mengembangkan perniagaan ini secara lebih serius dan menjadikannya sebagai kerjaya utama pada masa depan.

“Ini kerana saya melihat terdapat potensi besar dalam perniagaan kraf tangan berdasarkan rekaan grafik dengan permintaan terhadapnya semakin meningkat,” katanya.

Bagi yang berminat untuk melihat produk yang dihasilkan boleh mengunjungi laman sosial Facebook dan Instagram iaitu KRLbrands selain melayari laman sesawang www.krlbrands.com.