Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, inisiatif itu bertujuan mengukuhkan dan memantapkan sektor kepenggunaan di negara ini selain menyediakan barangan keperluan harian masyarakat dengan harga yang berpatutan.

Katanya, koperasi perlu mempunyai modal sekurang-kurangnya RM30,000 bagi membuka kedai runcit untuk melayakkannya menerima dana tersebut.

"Kita tidak beri dana begitu sahaja, mereka perlu melalui proses 'pitching' di mana mereka perlu membuktikan mengapa mereka layak untuk diberi dana kewangan tersebut, buat masa sekarang kita telah kenal pasti 30 koperasi yang layak.

"Selepas kita dapati mereka betul-betul layak kita akan beri RM150,000 bagi bantuan kos pembelian peralatan serta sistem perniagaan yang baharu, manakala baki RM150,000 lagi akan diberikan dalam bentuk pinjamam pembelian stok barangan kedai," katanya kepada pemberita selepas pelancaran program itu di sini, hari ini.

Di bawah program itu, peranan koperasi akan diperluaskan merangkumi aktiviti pengeluaran dan pengedaran dalam membantu kerajaan mengawal kenaikan harga barang dan perkhidmatan.

Hamzah berkata, selain insentif kewangan, pihak Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) juga bersedia untuk membantu pembangunan perniagaan koperasi berkenaan dari segi operasi, bantuan teknikal dan juga latihan.

Katanya langkah ini membolehkan koperasi yang baharu menceburi bidang ini untuk belajar secara 'hands on' bagaimana untuk menguruskan kedai runcit.

"Kita harap inisiatif ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh koperasi demi untuk kebajikan dan memperbaiki taraf hidup anggota serta rakyat," katanya. - BERNAMA