Tidak hanya sekadar hobi, Pe­ngarah Urusan Bot Holdings Berhad, Syukor Majid, 29, kini menjadikan perniagaan sebagai salah satu sumber rezeki yang menda­tangkan pulangan lumayan.

Ini dibuktikan apabila dia mampu tersenyum setelah penat lelah yang dilalui berjaya menghasilkan 28 jenis produk yang dikeluarkan kilangnya sendiri sejak 2008.

Syukor yang mula berniaga ketika masih menuntut di peringkat Diploma Pengajian Perniagaan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Lendu, Melaka pada 2008 menganggap kesusahan yang dihadapinya berbaloi apabila menempa nama dalam bidang perniagaan minuman.

“Semasa di UiTM, saya tidak pernah merasa malu untuk berniaga. Semuanya kerana minat. Saya jual air botol, nasi lemak, nasi goreng kicap, air tin, mi segera dan kad tambah nilai di sekitar hostel.

“Walaupun hanya menjual dalam kalangan rakan-rakan namun, pendapatan ketika itu boleh mencecah RM3,000 hingga RM5,000 sebulan. Selain menampung pengajian, hasil pendapatan itu juga digunakan untuk membeli keperluan lain,” katanya kepada S2 sambil memberitahu modal permulaan untuk memulakan perniagaan hanya RM300.

Syukor yang mula dikenali dengan produk Kopi Arabica Susu Kambing itu memberitahu, produk tersebut memberi pulangan lumayan walaupun susu kambing kurang digemari masyarakat kerana beranggapan ia ‘panas’ dan berbau hamis.

Katanya, kisah bermula selepas tamat pengajian diploma apabila bapa saudaranya menawarkan kira-kira 3,000 unit kopi tersebut yang tidak laku dijual.

Tambahnya, dia dan bapanya mengambil peluang itu untuk memulakan bisnes secara serius dan dalam masa dua minggu, kese­mua kopi itu habis dijual.

“Bermula daripada itu, kami tekad menjadikan produk ini sebagai produk kami sendiri.

“Kira-kira setahun beroperasi, kami mula bangunkan kilang sendiri dengan mesin pertama dibeli berharga RM28,000 secara ansuran dan kini terdapat 38 mesin lengkap membuat produk minuman berasaskan serbuk.

“Alhamdulillah, kilang kami berjaya melepasi piawaian GMP, HACCP, ISO:22000 dan juga perakauan sijil halal dari Jakim,” ujar graduan Ijazah Sarjana Muda Perniagaan Antarabangsa di UiTM, Shah Alam itu.

Ditanya tentang jatuh ba­ngun dalam perniagaan, Syukor berkata, dia pernah dilanda krisis kewangan teruk menjelang Ramadan 2009.

“Pada masa itu, jualan kami merudum teruk sehingga memaksa saya dan bapa membuat pinjaman peribadi berjumlah RM200,000 bagi menyelesaikan hutang pembekal dan gaji pekerja.

“Selepas peristiwa itu, saya ambil langkah berjaga-jaga de­ngan menubuhkan tabung kecemasan agar peristiwa tersebut tidak berulang,” ujarnya.

Katanya, hasil ketekunan dan tidak putus asa, produk tersebut bukan sahaja mendapat sambutan di negara ini, malah turut dinikmati rakyat negara lain se­perti Thailand, Singapura, Brunei, Indonesia, China dan Turki.

Selain itu, tambahnya, dia juga rancak menawarkan servis OEM kepada mereka yang berminat menghasilkan produk jenama sendiri dengan kos yang rendah.

Tidak mahu terlalu memfokuskan pada produk berasaskan susu kambing sahaja, Syukor berkata, syarikatnya kini me­ngorak langkah menjual jus Lemonex sejak sebulan lalu.

Menurutnya, Lemonex telah mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan dan merupakan jus lemon yang mengandungi ekstrak grapefruit. Harga promosi Lemonex adalah RM139 (harga asal RM179) untuk 30 paket. Jus itu sesuai untuk mereka yang mahu menurunkan berat badan.

“Saya gembira melihat perkembangan jualan yang berjaya melahirkan ramai ejen berpendapatan tinggi. Ada seorang ejen kami meraih pendapatan sehingga RM18,000 pada bulan lalu.

“Kami masih membuka peluang kepada mereka yang berminat untuk menjadi pengedar Lemonex dengan modal yang sangat rendah,” katanya.

Bagi mereka yang ingin mengetahui lebih lanjut atau berminat menjadi ejen Lemonex boleh menghubungi Zaki Yamani (011-1607 6969) atau 03-32929777 (pejabat).

Untuk maklumat lanjut, boleh layari laman web www.lemonex.com, Facebook Lemonex Malaysia atau Instagram, Lemonex_malaysia.