Pengasasnya, Mohd. Akhir Ismail, 59, berkata, kopi yang dihasilkan menggunakan kaedah tradisional itu kini telah berjaya menembusi pasaran di serantau Asia Tenggara antaranya Singapura dan Thailand.

“Selalunya, kopi ini akan dijual mengikut permintaan pelanggan kami dan kebanyakan dari mereka sanggup datang dari jauh untuk membeli kopi madu kelulut ini.

“Setiap bulan, sebanyak 60 hingga 70 kilogram kopi dihasilkan dan setakat ini, sambutan amat memberangsangkan,” katanya ketika ditemui pada Karnival Usahawan Desa (KUD) 2017 yang bertempat di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Karnival yang dianjurkan oleh Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah itu bermula dari 19 Oktober lalu dan berakhir esok.

Mengulas lanjut, Mohd. Akhir berkata, kopi madu kelulut yang mula diusahakan pada 2013 bersama isterinya, Siti Norha­yati Yahaya, 35, itu mempunyai pelbagai khasiat se­perti antioksidan dan bahan berkhasiat se­perti bee pollen (makanan anak lebah kelulut) turut digunakan.

“Biji kopi ini juga digoreng bersama madu kelulut dan bee pollen pada suhu di bawah 40 darjah Celsius bagi mengekalkan khasiat kedua-dua bahan tersebut.

“Ia juga boleh diminum tanpa sebarang campuran gula tambahan mengikut ke­sesuaian citarasa masing-masing,” katanya.