Pengurus Operasi Ibu Pejabat MediFeet, Samantha Peh berkata, melalui sepuluh koleksi terbaharu yang dikeluarkan, tiga daripadanya merupakan kasut kesihatan di bawah sub-jenama, Sara Max yang dikeluarkan khas untuk mereka yang berusia di antara 25 hingga 35 tahun.

Menurut beliau, jika sebelum ini jenama MediFeet mengfokuskan kepada golongan yang sudah mengalami masalah kaki, rangkaian Sara Max pula lebih terarah kepada langkah pencegahan awal yang perlu diberi perhatian oleh orang muda.

“Ketika usia muda adalah masa yang penting untuk menjaga kesihatan kaki. Ramai yang menghidap sakit kaki akibat tidak memakai kasut yang sesuai dengan kaki dan bentuk badan mereka ketika zaman muda.

“Bagi golongan wanita, pemakaian kasut tumit tinggi yang tidak sesuai dengan berat badan mereka antara faktor popular mengapa mereka menghidap sakit kaki ketika sudah berusia,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Ibu Pejabat MediFeet, Subang Jaya dekat sini hari ini.

Tiga koleksi baharu daripada sub-jenama Sara Max itu menawarkan rekaan yang menarik dengan pelbagai pilihan warna. - UTUSAN ONLINE