Pengarah Aurora Italia, Datin Yvonne Lim berkata, kios ketiga itu dibuka di pusat beli-belah Mid Valley Megamall di sini bagi membolehkan pelanggannya di sekitar Lembah Klang melihat sendiri barang yang hendak dibeli.

Menurutnya, sebelum ini, para pelanggan dari Lembah Klang dan luar negara membuat tempahan secara dalam talian.

“Ini merupakan salah satu stra­tegi syarikat bagi memperluaskan lagi pasaran produk gelang tangan dan charm kepada pelanggan dari luar Pulau Pinang.

“Pada bulan Mac lalu, kami telah membuka dua kios di pusat beli-belah Plaza Gurney dan Queensbay Mall di Pulau Pinang yang mendapat sambutan menggalakkan daripada pelanggan dari seluruh negara,” katanya kepada pemberi­ta dalam majlis pembukaan kios ketiga Aurora Italia di sini hari ini.

Yang turut hadir, Penolong Pengurus Pemasaran Aurora Italia, Carmen Kong.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, kios baharu itu mampu menjadi pemangkin khususnya bagi mencapai sasaran jualan syarikat kira-kira RM20 juta menjelang penghujung tahun ini.

Selain itu, tambahnya, produk berkenaan juga mempunyai daya tarikan tersendiri yang mana terdapat kira-kira 250 rekaan khas charm.

“Antara tema istimewa charm ialah huruf dan angka; elemen, sambutan hari istimewa; kasih sayang dan hubungan antara keluarga. Aksesori barang kemas seperti inilah yang menjadi idaman setiap wanita di luar sana.

“Selepas ini, kami merancang mengembangkan lagi produk ka­mi di beberapa negara ASEAN se­perti Singapura, Brunei, Indonesia dan Filipina selain turut mempelbagaikan lagi produk menggunakan ‘emas putih’,” katanya.