Ratusan jenis makanan kering yang terdapat di negeri ini pasti akan meninggalkan kenangan dan kenikmatan bagi pembeli.

Salah satu makanan kering yang amat sinomin dengan negeri di bawah bayu ini ialah keropok amplang.

Berbentuk empat segi, keropok amplang yang merupakan makanan ringan atau disebut jajan bagi masyarakat Bugis dari daerah Tawau itu boleh didapati dalam pelbagai perisa iaitu ikan, udang atau ketam.

Bagi sejarah keropok tradi­sional itu, keropok amplang merupakan hidangan minum petang masyarakat tempatan bersama kopi panas.

Kini, keropok amplang bukan sahaja menjadi jajan masyarakat Bugis, tetapi sudah dikomersialkan oleh pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS) di negeri ini.

Terdapat ramai pengusaha IKS keropok amplang di Tawau yang memasarkan produk mereka ke seluruh Sabah terutama bandar-bandar utama di negeri ini.

Untuk itu, peserta Kembara Media 1Malaysia Sabah 2015 baru-baru ini berpeluang berkunjung ke kilang memproses keropok amplang di daerah ini yang dikenali sebagai Syarikat Rosmie Bersaudara.

Bagi pengusaha pertama keropok amplang di Tawau, Rosmie Bersaudara menyifatkan penerimaan rakyat negeri ini terhadap keropok tradisional itu cukup membuka peluang kepada mereka sekeluarga untuk menambah pendapatan.

Syarikat Rosmie Bersaudara yang terletak di Kampung Muhibah Jaya, Tawau itu kini menjadi tumpuan orang ramai selain memberi peluang kepada penduduk tempatan dari segi pekerjaan.

“Sehari kami menghasilkan kira-kira 400 kilogram (kg) keropok amplang untuk memenuhi pasaran seluruh negeri ini. Jumlah itu bertambah kepada 600kg pada musim perayaan dan cuti persekolahan,” jelas Rozekin Suratman, 35, yang kini mewarisi syarikat itu daripada ibunya, Rosmie Naridin.

Sejak mengambil alih perniagaan itu daripada ibunya, Rozekin tekad untuk memasarkan produk amplang ke luar negeri ini selain menjadikan Tawau sebagai hab serta terkenal sebagai produk amplang.

Ujar Rozekin, pemilihan tepung berkualiti, selain ikan tenggiri yang segar menjadi keutamaan bagi Rosmie Bersaudara sehingga keropok tradisional yang dihasilkan mendapat permintaan tinggi.

“Ikan tenggiri merupakan bahan paling sesuai untuk menghasilkan amplang yang enak dengan warna yang menarik.

“Malah, proses menghasilkan amplang ini bermula dengan campuran bahan minyak masak, telur, gula, garam, bawang putih dan serbuk perasa yang diluluskan hingga proses menguli tepung serta memotong dan menggoreng yang memakan masa kira-kira empat jam,” katanya.