Malah Shima, 33, sanggup mengambil keputusan berani untuk berhenti kerja sebagai Koordinator Pemasaran di sebuah syarikat pembekal peralatan pesakit dan ubat-ubatan semata-mata mahu membuka syarikat katering.

Baginya, kelulusan Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Agrotek­nologi yang dipegang­nya bukan pengikat untuk dia terus makan gaji walaupun menjanjikan pendapatan tetap.

Shima bagaimanapun meng­akui bidang katering bukanlah satu kerja yang mudah, tetapi dia nekad demi mengejar cita-cita selain mahu meluangkan lebih banyak masa bersama keluarga.

Menurutnya, berbeza dengan memasak di rumah, perkhidmatan katering memerlukannya memasak dalam jumlah yang banyak untuk 100 hingga 1,000 orang, bergantung kepada tempahan.

Shima memberitahu, perniagaan katering juga dikuasai oleh orang-orang lama yang lebih berpengalaman menyebabkannya agak gugup sedikit dalam industri tersebut.

Malah jelasnya, ramai juga pelanggannya terkejut apabila mengetahui dia sendiri memasak makanan katering tersebut.

Menceritakan bagaimana boleh meminati bidang tersebut, Shima memberitahu ayahnya seorang tukang masak dan turut memiliki sebuah syarikat kate­ring di Kulim, Kedah iaitu RM Rahim Katering.

“Bak kata pepatah, di mana tumpahnya kuah, kalau bukan ke nasi. Ayah saya merupakan sumber inspirasi untuk lebih cepat melangkah ke hadapan.

“Sewaktu mula menceburi bidang ini, ayah akan memantau segala kerja-kerja masakan bermula dari tempahan dan pembelian barangan sehinggalah ke proses penghantaran kepada pelanggan.

“Proses pembelajaran juga memakan masa agar makanan yang disediakan betul-betul menepati cita rasa ayah,” katanya kepada S2 baru-baru ini.

Ditanya tentang lokasi perniagaan dan menu masakan yang ditawarkan, Shima memberitahu, NZ Shima Catering berpusat di Saujana Utama, Sungai Buloh tetapi menerima tempahan di sekitar Lembah Klang. Menu yang ditawarkan pula lebih kepada makanan ala utara.

“Ayah saya, orang utara. Sebab itulah, masakan kami juga ala utara. Antara menu yang ditawarkan adalah nasi beriani, nasi hujan panas, nasi minyak bersama lauk ayam masak merah, daging masak hitam dan kari kambing.

“Apa yang menarik, harga makanan yang ditawarkan murah dan tidak membebankan pe­langgan iaitu serendah RM9.50 seorang bagi pakej pengantin, bergantung kepada lokasi dan jumlah tempahan.

“Walaupun murah, kualiti makanan yang disediakan serta kebersihan amat dititik beratkan kerana bagaimana kita masak untuk keluarga, begitulah juga saya masak untuk pelanggan,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Shima memberitahu meskipun bidang katering meletihkan, tetapi apabila mendapat komen positif daripada pelanggan, semangat Shima terus berkobar-kobar untuk menyediakan makanan dengan lebih baik dan sedap.

Katanya, selain katering, NZ Shima Catering turut menyediakan perkhidmatan sewaan kanopi serta kipas air.

Orang ramai yang ingin mengetahui lebih lanjut boleh mengunjungi laman sosial Facebook NZ ShimaCatering dan Instagram @nz_shima_cate­ring.