Penganjuran karnival yang melibatkan kerjasama beberapa pihak antaranya agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani serta Pusat Khid­mat Dewan Undangan Negeri (DUN) Semarang dan lain-lain itu adalah kali keempat diadakan selepas di tiga lokasi terdahulu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semarang, Datuk Samsolbari Jamali berkata, empat segmen tersebut merangkumi pameran, jualan, pendidikan dan gaya aktif yang menyediakan pelbagai aktiviti menarik kepada pengunjung sepanjang karnival itu berlangsung.

Menurut beliau, segmen pameran dan jualan akan melibatkan lebih 100 lot usahawan dan agensi kerajaan yang akan berkongsi maklumat mengenai perkhidmatan dan aktiviti yang sedang giat dijalankan di peringkat negeri dan kebangsaan.

“Malah dalam segmen ini para pengunjung berpeluang mendapatkan produk segar seperti buah-buahan, herba berasaskan pertanian, produk industri kecil dan sederhana, benih pokok, bunga, jentera dan mesin daripada pelbagai usahawan dan pempamer.

“Bagi segmen pendidikan pula, jabatan dan agensi berkaitan akan berkongsi demonstrasi berasaskan pertanian dan Jabatan Pertanian juga akan memberi penerangan secara percuma mengenai peluang pendidikan di pusat pertanian dan institut pertanian serta peluang pekerjaan dalam bidang itu,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Projek Pertanian Moden Kluang, Ngaijan Agale dan wakil-wakil dari agensi serta jabatan terlibat dalam Karnival Muafakat Tani itu.

Samsolbari yang juga Pengerusi Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) berkata, segmen gaya aktif akan menyediakan pelbagai aktiviti sukan dan pertan­dingan dan para pengunjung yang mempunyai bakat dalam bidang seni berpeluang menyertai karaoke atau busking dengan hadiah-hadiah menarik.

Sementara itu, seramai 50,000 pengunjung disasarkan sepanjang karnival tersebut yang antara lain sebagai platform kepada usahawan termasuk golongan muda mempromosi serta mengete­ngahkan hasil pengeluaran ma­sing-masing kepada orang ramai.

“Ini juga peluang mereka meluaskan lagi rangkaian sama ada sesama usahawan atau dengan agensi berkaitan kerana ia berupaya untuk mengembangkan perniagaan mereka ke peringkat lebih tinggi selain mendapat banyak pengetahuan dan informasi bermanfaat.