Ketua Pegawai Eksekutif EFE Expo Sdn. Bhd., David Tay Kok Seng berkata, peningkatan jualan tersebut didorong oleh peningkatan penyertaan syarikat asing pada tahun ini selain keadaan ekonomi dunia yang semakin pulih.

"Walaupun penglibatan syarikat asing tidak besar iaitu sekitar 10 peratus sahaja, namun jualannya dijangka meningkat tahun ini berdasarkan peningkatan sebanyak 100 peratus tahun lalu.

"Kami jangkakan lebih ramai pembeli asing hadir pada pameran kali ini kerana menawarkan pelbagai jenis perabut baharu yang berinovasi yang kebanyakan dihasilkan oleh usahawan tempatan," katanya pada sidang akhbar selepas majlis pelancaran EFE 2012 di sini hari ini.

Majlis berkenaan telah dirasmikan oleh Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Tan Sri Bernard Dompok.

EFE 2012 yang diadakan di Taman Pameran Pertanian Serdang (MAEPS) telah berjaya menarik lebih 400 peserta dari dalam dan luar negara dengan menawarkan pelbagai jenis perabot dan juga hiasan dalaman.

Dijangkakan lebih 6,000 pembeli dari 140 buah negara mengunjungi pameran kali ini untuk merebut peluang perniagaan.