Setiap kali berada di tempat yang menjanjikan keterujaan berbelanja, Norsyahidah tidak pernah terlepas tangan 'mencapai' beberapa helai pakaian untuk dijual semula kepada saudara-mara dan rakan-rakan sekembalinya ke tanah air.

Bertitik-tolak daripada itu, gadis berusia 26 tahun ini tidak menoleh ke belakang lagi apabila merasakan ada peluang yang terhidang di hadapannya dalam bidang perniagaan pakaian terutama untuk wanita yang gemar berfesyen. Apatah lagi, ketika ini era media sosial memudahkan pemasaran secara dalam talian.

Menyedari itu, kira-kira dua tahun lalu, ibu kepada dua cahaya mata ini mula menapak dalam bidang perniagaan pakaian dengan membuka bazar di JB Sentral dan Lapangan Terbang Senai, Johor Bahru. Setahun kemudian, langkah Norsyahidah semakin panjang dalam dunia perniagaan apabila mula membuka butik.

Pembukaan butik ternyata memberikan kepuasan kepada­nya kerana dapat memperagakan fesyen untuk jualan dengan dibantu aplikasi media sosial.

Kini Norsyahidah boleh berbangga selepas kerja kerasnya mula menampakkan hasil apabila butik di Bandar Baru Uda, Johor Bahru dan Taman Utama di Segamat semakin dikenali sebagai pusat pakaian dengan label sendiri, selain rekaannya dihasilkan dengan kerahan idea sendiri.

Produk di bawah jenama Annassis ini meliputi pakaian seperti jubah, blaus, baju kurung, kebaya, seluar palazzo dan pelbagai lagi, menawarkan fesyen yang tidak begitu ‘sarat’ dengan batu hiasan kepada penggemar yang mementingkan gaya elegan.

"Annassis Couture masih baharu dalam pasaran. Minat saya terhadap fesyen yang tidak sarat dengan batu hiasan telah membantu jenama ini cepat dikenali dalam kalangan penggemar yang berjiwa sederhana. Ini kerana tidak semua wanita gemar fesyen pakaian yang sarat dengan batu hiasan,” katanya kepada S2 ketika ditemui di Butik Annassis, Segamat, Johor.

Mengakui bukan jenama besar, namun rekaan yang ditawarkan memiliki identiti sendiri dan dapat dimiliki pada harga berpatutan.

Katanya, fesyen pakaian yang dijual di butiknya menyamai apa yang ditawarkan di butik terkenal kerana beliau amat mementingkan kualiti kain yang digunakan untuk menghasilkan pakaian mengikut trend terkini.

Menurut Norsyahidah, penggunaan laman sosial Facebook dan Instagram membantunya memperkenalkan jenama Annassis kepada orang ramai terutama penggemar fesyen terkini.

Katanya, menerusi media sosial juga, pelanggannya memberitahu mereka tahu mengenai Annassis menerusi laman sosial atau saudara-mara serta rakan-rakan yang pernah membeli pakaian di butiknya.

"Penggunaan Facebook atau Instagram ini dirasakan lebih mudah dan efektif kerana di samping dapat meningkatkan jualan, ia secara tidak langsung menambah peminat Annassis. 

“Matlamat kami adalah untuk memberi peluang kepada pelanggan merasai fesyen terkini yang menggunakan kain bermutu dan berkualiti pada harga yang lebih rendah,” katanya yang mengimport kain bergred tinggi dari negara seperti India, China dan Vietnam.

Pada masa hadapan, Norsyahidah berkata, Annassis Couture dalam perancangan untuk memperkenalkan fesyen kepada golongan ‘plus size’ agar mereka tidak ketinggalan me­nggayakan pakaian yang elegan, sekali gus memberi lebih impak kepada diri pemakai.

Mereka yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai rekaan Annassis Couture boleh melayari laman sosial Facebook annassis_couture atau Instagram @annassis_couture, selain berhubung melalui aplikasi WhatsApp di talian 012-7937955.