NORADILA MOHAMAD menunjukkan koleksi emas yang dijualnya secara dalam talian.

Antara yang berani mencuba jenis perniagaan ini ialah Noradila Mohamad. Wanita berusia 31 tahun itu mula berniaga emas secara dalam talian sejak empat tahun lalu dan katanya, beliau mampu meraih pendapatan yang mencecah antara RM10,000 hingga RM15,000 sebulan.

“Saya berniaga emas sejak berumur 19 tahun lagi. Namun, perniagaan secara dalam talian ini baharu sahaja dimulakan sejak empat tahun lalu. Saya dapati kaedah baharu ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan.

“Ada banyak kelebihan berniaga secara dalam talian. Antaranya saya tidak perlu mengeluarkan modal yang besar untuk promosi dan mengupah pekerja,” katanya kepada S2.

Noradila berkata, idea untuk menjual emas secara dalam talian timbul selepas dia melihat platform media sosial boleh menjadi medium terbaik untuk memasarkan barangan perhiasan wanita itu.

“Saya mempunyai laman Facebook sendiri untuk menjual emas secara dalam talian iaitu ‘Kedai Emas Muroh Ganu’. Emas yang dijual terdiri daripada pelbagai bentuk terkini yang digemari pelanggan.

“Kaedah pembelian amat mudah. Kod akan dipamerkan bersama barangan bagi memudahkan pelanggan membuat pilihan. Jika ada pelanggan menghubungi saya untuk menempah ikut cita rasa sendiri, saya akan cuba penuhi kehendak mereka,” katanya.

Selain itu, katanya, ketika ini beliau memiliki lima cawangan kedai emas iaitu empat buah beroperasi di Terengganu dan sebuah di Sarawak, sekali gus membolehkan stok barangan kemas sentiasa ada untuk pelanggan dalam talian.

“Kedai di Terengganu dan Sarawak hanya dapat memenuhi permintaan pelanggan di kedua-dua negeri itu sahaja. Justeru, jualan secara dalam talian melibatkan pelanggan dari seluruh negara. Jadi, pasarannya lebih luas. Saya juga dapati ramai pelanggan lebih suka kaedah tersebut kerana lebih mudah dan tidak perlu ke kedai.

“Ada yang berpendapat jual emas dalam talian berisiko untuk ditipu namun, bagi saya kepuasan pelanggan menjadi keutamaan dan alhamdulillah, sehingga hari ini, tiada masalah berbangkit berlaku,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, selain emas, dia juga menjual pelbagai batu permata secara dalam talian.

Menurutnya, pelanggan yang membeli secara dalam talian, bakal menikmati diskaun 30 hingga 50 peratus.

“Untuk emas pula, sekarang saya jual mengikut harga pasaran di Terengganu iaitu RM163 untuk segram,” katanya yang memperuntukkan modal kira-kira RM50,000 untuk menjual emas secara dalam talian.