Pengurus Syarikat X-Calibor, Yusbakhtiar Yusof, 33, berkata, antara barangan cenderamata yang dihasilkan pihaknya menggunakan kayu terpakai ialah tempat kunci, rehal, kotak hantaran, kerusi dan meja.

“Saya berharap produk yang diusahakan mampu memberikan nilai tambah kepada industri pe­rabot dan cenderamata untuk ke­gunaan di rumah, pejabat, masjid atau surau,” katanya.

Sementara itu, Zakaria Ismail, 33, yang menghasilkan kerepek nanas dan nangka menggunakan jenama Lea Frito mengakui makanan ringan berkenaan kini diterima baik oleh orang ramai termasuk dijual dalam pasar raya besar seperti Giant dan Mydin.

“Selain nanas dan nangka, syarikat Cemara Food Industries Sdn. Bhd., ada beberapa lagi produk yang berasaskan buah-buahan dihasilkan kami, sekali gus membantu mempelbagaikan produk buah-buahan tempatan,” katanya.

Bagi pengusaha bawang go­reng, Sarinah Makin, 49, peluang menyertai program itu mampu memperkenalkan lagi produk keluarannya yang mula dihasilkan sejak 14 tahun lalu.

“Selain bawang goreng, syarikat Rasa Berkat Enterprise turut mengeluarkan kerisek dan serbuk lada kering yang kini telah diterima baik oleh pengusaha kedai-kedai makan mahupun orang ramai di daerah ini serta berjaya memasuki pasaran di Johor Bahru dan Batu Pahat.

Erliha Hidayatin Bibit, 25, yang menghasilkan makanan berasaskan kacang seperti kacang hai bersalut telur, kacang telur, aneka kerepek dan keropok me­ngakui masih perlu belajar ba­nyak perkara dan ilmu dalam per­niagaan bagi memastikan produknya mendapat pasaran.