Saya nekad membuka sebuah perniagaan sendiri iaitu Direct X Technology Services dengan memberikan servis berkaitan komputer seperti format komputer, servis membaiki komputer, servis aplikasi di dalam komputer dan sebagainya.

Kini perniagaan saya sudah pun berusia empat tahun. Banyak liku-liku cabaran dan dugaan yang saya telah tempuhi sepanjang masa tersebut. Berikut, saya kongsi perkara penting untuk menjadi panduan kepada anda yang mahu memulakan perniagaan.

MODAL ILMU

Ilmu merujuk kepada kefahaman manusia terhadap sesuatu perkara yang mana ia merupakan kefahaman sistematik dan diusahakan secara sedar. Pada umumnya, ilmu mempunyai potensi untuk dimanfaatkan demi kebaikan manusia.

Contoh mudah, perniagaan pisang goreng yang biasa kita nampak di bahu jalan. Jika anda ingin menjalankan perniagaan yang sama, anda perlu belajar bagaimana hendak menghasilkan pisang goreng tersebut.

Tetapi tunggu dulu jangan gopoh. Andainya anda telah pun mahir membuat pisang goreng, belum tentu anda boleh berniaga. Anda perlu belajar juga cara untuk mengira perbelanjaan kos, harga jualan yang realistik, pengurusan masa operasi, cara berurusan dengan pelanggan, dan banyak lagi.

Mungkin kita anggap ia remeh tetapi sebenarnya amat penting. Oleh itu, sebelum apa-apa lebih baik kita menuntut ilmu terlebih dahulu.

MODAL MASA

Masa yang kita perlu adalah masa yang selama ini terluang untuk memulakan perniagaan. Memulakan bukan bermaksud terus berniaga. Waktu tersebut perlu digunakan sebagai waktu persediaan.

Waktu untuk belajar bisnes dan mengkaji produk yang sesuai untuk anda jual. Anda perlu meluangkan masa sedikit untuk persediaan ini. Bagi yang bekerja, boleh gunakan waktu cuti ataupun berkorban masa selepas waktu bekerja.

Saya tidak menyarankan anda untuk terus berhenti kerja dan melompat ke alam bisnes kerana ia amat berisiko. Bagi yang tidak punya pekerjaan, boleh fokus masa anda untuk membuat persediaan ini.

Saya jarang sekali menghabiskan waktu menonton wa­yang, main permainan video atau segala bentuk hiburan. Banyak masa terluang selepas waktu kuliah digunakan untuk pelajari perniagaan saya.

Bunyinya agak membosankan tetapi manusia selalu melihat hasil di hujungnya tanpa menyedari usaha pada awalnya yang begitu sukar.

MODAL WANG RINGGIT

Wang ringgit yang paling kerap dibicarakan bagi mereka yang ingin memulakan perniagaan. Setelah saya mengenali rakan perniagaan saya yang lain, mereka memperoleh modal pertama perniagaan daripada badan kebajikan, lembaga zakat, ibu bapa dan juga hasil simpanan sendiri daripada gaji.

Untuk modal bagi perniagaan pertama anda, saya nasihatkan agar tidak berhutang. Biarlah bermula dengan modal kecil sekali pun. Simpan sebanyak 10 peratus daripada gaji bulanan anda, kalau mahu lagi cepat pandai-pandailah ikat perut.

Seingat saya pada awal 2014, modal perniagaan saya hanya RM500 hasil daripada simpanan PTPTN. Amat perit untuk mengumpul modal dan terpaksa berlapar. Jika saya boleh, pasti anda boleh.

Komitmen diberikan sangat padu walaupun letih, tidak cukup tidur, meredah hujan dengan menaiki motosikal yang kini hanya tinggal kenangan. Walaupun setelah enam bulan menjalankan perniagaan hanya mencatatkan keuntungan bersih RM428 pada ketika itu, tetapi saya tetap teruskan.

* MODAL KOMITMEN

Komitmen bermaksud sikap memberikan sepenuh tenaga dan perhatian atau menunjukkan sokongan dan azam sepenuhnya kepada sesuatu perkara. Jika sudah memulakan perniagaan, anda mesti tahu mengawal emosi.

Perlu konsisten dalam usaha anda. Dalam bisnes pun jangan ponteng. Bukan selepas sebulan dua tidak untung, terus mahu gulung tikar. Teruskan usaha anda, jika belum membuahkan hasil kaji semula di mana silap­nya. Baiki semula bukan terus putus asa.

Saya nasihatkan anda untuk terus bersemangat dan berusaha. Percayalah akan muncul sinar pelangi setelah hujan ribut.

Fazley Sanusi adalah pelajar Tahun Akhir Bacelor Komputer Sains Pengkhususan Multimedia, Fakulti Sains Komputer Teknologi Maklumat, UPM.