Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri, Ahmad Bakri Ali berkata, setakat ini pihaknya mengesan kehadiran dua jenis ikan pemangsa import iaitu peacock bass dan geophagus di dalam empangan itu yang dipercayai dilepaskan oleh peminat ikan ini setelah enggan membela.

“Apa yang menggusarkan kita, ribuan benih ikan seperti lampan dan puyu telah dilepaskan Jabatan Perikanan untuk membesar supaya menjadi punca pendapatan nelayan darat akan terjejas disebabkan kehadiran ikan pemangsa ini,” katanya selepas majlis Pelepasan Benih Ikan Ke Perairan Umum Sempena Prapelancaran Gelombang Nelayan Nasional (GNN) dan pentauliahan Sukarelawan Perikanan (SUPER) di Taman Santuari Ikan Air Tawar di Empangan Timah Tasoh, dekat sini hari ini.

Yang turut hadir Pengarah Perikanan negeri, Ismail Ibrahim dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Titi Tinggi, Khaw Hock Kong.

Sebanyak 54, 647 benih ikan lampan, puyu dan udang galah dilepaskan di Empangan Timah Tasoh sempena dengan program itu yang dilancarkan serentak di seluruh negara tepat pukul 10 pagi.

Pada majlis ini, seramai 22 Ahli Jawatankuasa (AJK) SUPER menerima sijil pentauliahan masing-masing.

Ahmad Bakri berkata, dengan kehadiran semakin banyak ikan pemangsa ini akan menjadikan jumlah spesies ikan asli akan pupus.

“Kita tidak mahu ikan pemang­sa mendominasi dalam empangan ini yang dipenuhi dengan pelbagai jenis ikan air tawar lain,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, Jaba­tan Perikanan akan melaksanakan penerangan dan kempen terhadap peminat ikan pemangsa import khususnya supaya lebih bertanggungjawab dalam menjaga sumber dan ekosistem perikanan negara.