Timbalan Menteri Sains, Tek­no­logi dan Inovasi, Datuk Dr. Abu Bakar Mohamad Diah berkata, penerapan prinsip serta amalan inovasi itu dilihat penting kerana ia berupaya menentukan kedudukan sesebuah organisasi serta syarikat terus maju dan kekal mampan pada masa depan.

“Malah, ekonomi dunia ketika ini dipacu dengan inovasi yang memerlukan kepada pembangunan intensif pengetahuan, nilai tambah, pengunaan teknologi serta kesesuaian industri.

“Inovasi yang diperoleh daripada kejayaan pelaksanaan idea dan pengetahuan yang kreatif akan menghasilkan produk dan perkhid­matan yang unik serta berbeza.

“Hasil inilah yang akan mendorong kepada pengeluaran pro­duk serta perkhidmatan pada har­ga yang tinggi sekali gus meningkatkan pulangan pelaburan se­­sebuah syarikat khususnya PKS,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis pelancaran dua inisiatif strategik iaitu Jaringan Inovasi Food 4 Future dan Stan­dard Pengurusan Inovasi oleh SIRIM Berhad (SIRIM) di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengerusi SIRIM, Tan Sri Dr. Ir. Ahmad Tajuddin Ali dan Naib Presiden Penyelidikan dan Perindustrian, Ir. Dr. Mohamad Jamil Sulaiman.

Jaringan Inovasi Food 4 Future merupakan sebuah rangkaian fungsi dan operasi bersepadu di antara syarikat-syarikat PKS dalam sektor pemprosesan makanan dan minuman bersama rakan kongsi strategik iaitu SIRIM dan Institut Kejuruteraan Industri Fraunhofer (Fraunhofer IAO) dari Jerman.

Malah, jaringan itu merupakan perkongsian strategik jangka masa panjang yang menerima pakai mo­del Fraunhofer dalam penyelidikan gunaan bagi pembangunan PKS.

Sementara itu, Standard Pengurusan Inovasi SIRIM merupakan panduan umum kepada organisasi tanpa mengira sektor, saiz dan jenis yang ingin melaksanakan inovasi meliputi teknik, penerokaan idea, pemeriksaan, pembangunan, pengujian produk dan pasaran.

Dalam pada itu, Abu Bakar turut menyifatkan dua inisiatif berke­naan merupakan langkah signifikan dalam mewujudkan model perniagaan baharu kepada syarikat-syarikat tempatan khususnya PKS.