Perniagaan ikan pekasam yang diusahakan Rabnonah Said, 50, di Persimpangan Tol Alor Pongsu dekat sini semakin berkembang dan mendapat sambutan baik sejak dibuka setahun lalu.

Menurutnya, pada awalnya dia hanya memancing ikan di kawasan sepanjang jalan dari Kampung Beriah Ke Changkat Lobak, iaitu kawasan yang turut menjadi tumpuan kaki pancing yang lain.

Menurutnya, antara ikan yang diperoleh ialah ikan darat seperti ikan sepat, puyu, lampam, talapia dan haruan.

“Memandangkan hasil yang dipancing agak banyak, lama kelamaan saya terfikir untuk membuat ikan pekasam. Ini secara tidak langsung dapat menambah pendapatan kami sekeluar­-
ga apatah lagi suami saya tidak mampu melakukan kerja berat.

“Atas sokongan suami, saya membuka gerai menjual ikan pekasam sejak setahun lalu dan saya tidak menduga hasil jualan ikan pekasam yang saya buat sendiri mendapat sambutan,” katanya.

Menurutnya, ikan pekasam yang sudah siap diproses dibungkus dalam bekas plastik supaya kelihatan menarik.

Katanya, selain jualan terus kepada pelanggan yang datang ke gerainya, dia turut menerima tempahan menerusi aplikasi Whatsapp yang kemudiannya dihantar melalui pos.

“Selain pembeli tempatan, terdapat juga pembeli dari luar daerah ini kerana ikan pekasam sukar untuk didapati di bandar besar. Selain ikan pekasam, saya juga menjual jeruk buah-buah, kuih muih dan buah-buahan,” katanya.

Menurutnya, hasil jualan harian ikan pekasam dapat membantu pendapatan dia dan suaminya ketika mata pencarian utama mereka iaitu kelapa sawit semakin merosot disebabkan banjir.

“Biasanya setiap kali hujung minggu atau cuti umum, jumlah pelanggan yang datang bertambah. Saya bersyukur kerana sambutan orang ramai terhadap perniagaan saya,” katanya.