Bukan tidak mempercayai ubat diberikan doktor, namun dia mahu cuba menggunakan bahan masakan yang banyak ditemukan dalam masakan Melayu sebagai penawar penyakit suaminya.

Shamsuriya berkata, keluarganya secara turun temurun mempunyai amalan bagi mengurangkan gejala serangan jantung iaitu memakan halia yang dibakar lalu ditumbuk bagi menyembuhkan luka dalaman selepas menjalani pembedahan dan ternyata ikhtiar itu berhasil.

Katanya, dia menggunakan pendekatan memakan halia bakar untuk menjaga kesihatan sejak tahun lalu.

“Halia banyak khasiatnya. Selain menjadi penawar beberapa penyakit, halia juga digunakan secara tradisional oleh wanita yang sedang berpantang selepas melahirkan anak atau menjalani pembedahan.

“Justeru, saya memastikan suami memakan halia yang telah dibakar setiap hari selama tiga bulan bagi menyembuhkan luka selepas menjalani pembedahan jantung.

“Alhamdulillah, amalan ini berhasil dan suami sembuh sepenuhnya. Sejak itu, bukan sahaja suami semakin gemar mengamalkan makan halia yang dibakar namun, anak-anak juga mula menggemarinya. Dari situlah, saya mula mengusahakan produk ini untuk dipasarkan secara komersial,” katanya ketika ditemui S2.

Bermula dengan hanya menjual dari rumah dengan bermodalkan RM100,000, kini Shamsuriya sudah mempunyai kilang sendiri di Rawang, Selangor untuk memproses halia dan bawang putih goreng di bawah jenama Serunding Halia serta Bawang Putih Crispy.

“Dua produk ini sudah diuji di Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI),” katanya yang gembira apabila produk keluarannya memenuhi kualiti dan piawaian agensi itu.

Ini kerana katanya, produk tersebut dihasilkan secara tradisional tanpa menggunakan bahan pengawet dan perasa tambahan.

Menurutnya, beliau turut menggunakan laman sosial Facebook untuk memasarkan produknya. Lebih mengujakan apabila produknya mendapat sambutan menggalakkan.

“Selepas usaha saya memasarkan sendiri dari rumah berhasil pada 2015, saya mengembangkan kaedah pemasaran secara dalam talian. Alhamdulillah, menerusi Facebook, saya dapat jual antara 200 hingga 400 botol sebulan ketika itu,” tambahnya sambil memberitahu, ramai pelanggannya mengulangi tempahan selepas mengetahui khasiat produknya.

Menurutnya, produk yang dikomersialkan itu dibotolkan dalam isian 180 gram dan boleh bertahan selama enam bulan.

“Pada awal perniagaan, saya mengeluarkan antara 500 hingga 1,000 botol sebulan. Kini, semakin banyak tempahan diterima daripada orang ramai,” katanya.

Berikutan itu, syarikatnya kini mengeluarkan antara 1,000 hingga 2,000 botol seminggu dengan dibantu lima kakitangan.

“Produk ini sesuai untuk ibu berpantang selepas bersalin dan pesakit yang mahu menyembuhkan luka dalaman selepas pembedahan.

“Malah ia juga sesuai untuk mereka yang gemar aktiviti lasak seperti mendaki gunung. Ia dijadikan makanan tambahan semasa melakukan aktiviti tersebut,” katanya yang menjual kedua-dua produk tersebut pada harga RM25 sebotol.

Tambah Shamsuriya, dia kini mempunyai 30 ejen di Lembah Klang dan mahu menambah jumlah ejen di seluruh negara.

“Bagi mengembangkan perniagaan, saya mahu mencari lebih ramai. Menerusinya, mereka boleh menjana pendapatan sampingan. Untuk itu, mereka boleh menghubungi saya di talian 012-3850111 atau Facebook, Ibusue Bawang Puteh Crispy untuk maklumat lanjut,” katanya.