Namun, selepas beberapa tahun mengusahakan ternakan ter­sebut, dia sekali lagi membuat 'kejutan' apabila bertindak mengecilkan operasi secara perla­han-lahan walaupun ketika itu penterrnakannya semakin maju.

Tindakannya itu turut menimbulkan tanda tanya ramai pihak ketika bidang penternakannya semakin maju namun Azman Md. Rasip, 53, tetap dengan keputusan mengecilkan operasinya.

Keputusan itu dibuat kerana dia ingin menceburi bidang pelancongan yang dilihatnya mampu berkembang dan menjanjikan pen­dapatan lebih lumayan.

Nyata usahanya menceburi bi­dang agro pelancongan dengan menubuhkan syarikat SPPK Agro Park mengejutkan ramai pihak termasuk rakan-rakannya.

Sebagai Pengarah Urusan SPPK Agro Park, Kundang Ulu, Azman mengakui tidak ramai rakan serta kenalan rapatnya termasuk ahli keluarga dapat melihat peluang dalam bidang perniagaan yang dihidunya ketika itu sehingga ada yang tersalah anggap dengan segala tindakannya ketika itu.

“Saya secara beransur-ansur mengecilkan ternakan kambing dan arnab daging semata-mata ingin menceburi bidang pelancongan yang terbuka luas dan lebih menguntungkan.

“Akhirnya pada tahun 2013, impian saya untuk membuka sebuah kawasan yang menyediakan pelbagai kemudahan kepada pelancong dalam dan luar negeri berkonsepkan agro pelancongan menjadi kenyataan,” katanya kepada Utusan Malaysia, baru -baru ini.

Katanya, usaha membangunkan kawasan seluas hampir satu setengah hektar tersebut sebagai tapak agro pelancongan tidak dilakukan secara sendirian seperti sebelumnya, malah turut melibatkan peserta Koperasi Peserta Felcra Kundang Ulu seramai 281 orang yang menjadi pemegang saham.

Kini dia bersyukur kerana SPPK Agro Park yang menyediakan pelbagai kemudahan seperti chalet, inap desa, perkhidmatan ATV, trek motocross dan flying fox.

Usahanya itu semakin mendapat sambutan dalam kalangan pelancong tempatan yang ingin merasai kedamaian bercuti bersama-sama keluarga atau rakan-rakan di tengah-tengah kawasan ladang kelapa sawit.

“Selain pelbagai kemudahan riadah serta penginapan, kami turut menyediakan kemudahan untuk menganjurkan seminar atau kursus serta majlis perkahwinan kepada yang berminat di sam­ping pengalaman melihat sendiri proses atau kerja-kerja di ladang kelapa sawit, getah dan tembikai yang kami usahakan di sini.

“Berpegang dengan prinsip menggunakan apa yang ada dan mencari apa yang tiada, keba­nyakan struktur binaan seperti dewan terbuka, bangunan kafe serta perabot dihasilkan menggunakan bahan terbuang seperti kayu lapuk yang banyak terdapat di kawasan ladang serta kayu kotak kambing import,” katanya.

Menurut bapa kepada empat orang anak itu, selepas empat tahun beroperasi, SPPK Agro Park yang dibuka kepada orang ramai setiap hari telah menerima lebih 20,000 pengunjung yang datang secara berkumpulan untuk mengadakan seminar dan kursus tidak termasuk yang datang secara bersendirian atau bersama-sama keluarga.

Azman yang dibantu oleh dua pekerja tetap dan tujuh sambilan untuk menguruskan kawasan tersebut merancang membina beberapa lagi calet bagi menampung keperluan pengunjung yang semakin bertambah.

“Saya bersyukur idea serta usaha saya yang mungkin tidak begitu difahami oleh sesete­ngah pihak sebelum ini mampu berkembang dan membantu menjana pendapatan banyak pihak termasuk memperkenalkan pekan Kundang Ulu kepada orang luar.

“Saya juga berterima kasih kepada kepimpinan setempat dan agensi kerajaan berkaitan yang banyak memberi sokongan untuk memajukan kawasan ini dari pelbagai aspek termasuk bantuan berbentuk kebendaan selama ini,” katanya.