Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif AVANA, Luqman Adris berkata, penyedia solusi e-dagang Malaysia itu berbesar hati untuk memperkenalkan Mak Cun dan Che Ta sebagai sebahagian daripada revolusi e-dagang di negara ini.

“Mereka adalah contoh usahawan Malaysia yang berwawasan tinggi dan kami percaya selepas ini lebih ramai usahawan yang boleh mengikut jejak mereka berdua dan seterusnya mencapai impian untuk membina perniagaan yang berjaya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

AVANA sebelum ini mengumumkan kerjasama terbaharu bersama Perbadanan Pemba­ngunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) dan Facebook menerusi program Made by Malaysia, Loved by the World yang dilancarkan secara rasmi pada 24 September 2018 di Menara MITI, di sini.

Menurut Luqman, program yang turut disertai dua selebriti popular itu dijangka dapat membantu dan memperkasa sekurang-kurangnya 2,000 usahawan di seluruh negara untuk mengeksport ke luar negara.

“Selain itu, program ini juga akan membantu para usahawan membina nilai strategik perniagaan mereka dalam skop tempatan dan seterusnya membawa momentum perniagaan itu ke peringkat global.

“Kurikulum program tersebut akan merangkumi aspek pe­rancangan perniagaan, strategi pemasaran, proses eksport serta syarat dan peraturan global yang perlu diketahui untuk pasaran antarabangsa,” jelas beliau.

Beliau berkata, penggunaan aplikasi mudah alih AVANA juga secara langsung bakal membantu usahawan untuk membina kedai dalam talian dan menguruskan pesanan pelanggan de­ngan lebih cepat menggunakan te­lefon mudah alih.