Satu tip berguna bagi usahawan yang baharu berjinak dalam dunia perniagaan dalam talian, gunakan modal dengan seminimum mungkin.

Itu panduan yang diberikan pakar bimbing usahawan, Fuad Roslizan apabila menyentuh soal modal dalam perniagaan.

“Anda tidak perlu menghabiskan semua simpanan semata-mata mahu memulakan perniagaan dalam talian.

“Boleh mula dengan menjadi dropship kepada sesuatu produk atau jenama sedia ada yang dimulakan oleh peniaga lain,” katanya kepada S2.

Fuad berkata, kelebihan memulakan perniagaan dalam talian dengan menjadi dropship produk atau jenama milik usahawan lain adalah mereka hanya perlu memasarkan produk tersebut dan menerima komisen hasil jualan sahaja.

“Anda tidak perlu mengeluarkan modal untuk mengambil stok yang akhirnya jika stok tersebut tidak habis terjual, ia menjadi liabiliti kepada anda.

“Selain itu, kebanyakan produk yang menggunakan sistem dropship ini turut memberikan sokongan daripada segi teknik pemasaran, iklan dan khidmat nasihat,” katanya.

Ujarnya, bagi individu yang baharu sahaja berjinak-jinak dalam dunia perniagaan dalam talian, teknik dropship sememangnya amat berguna untuk berkembang kepada perniagaan yang lebih maju.

Katanya, cara dropship juga sebenarnya satu langkah selamat bagaimana seorang peniaga dapat mengumpul modal tanpa perlu membuat pinjaman bank bagi mengembangkan perniagaannya ke tahap lebih tinggi.

Selesai isu modal, Fuad berkata, selepas itu boleh difikirkan bagaimana menghasilkan produk sendiri dan mencari strategi untuk menerima sambutan daripada pelanggan.

Dalam hal ini, Fuad berkata, usahawan perlu bertanya kepada diri sendiri, siapakah sebenarnya golongan sasaran yang akan menggunakan produk yang dihasilkan.

“Apabila seorang usahawan merasakan produk yang dihasilkan itu untuk semua orang atau sesiapa sahaja, itu menjadi salah satu faktor kegagalan perniagaannya.

“Peniaga sebenarnya perlu jelas mengenai sasaran perniagaannya. Setiap pelanggan yang disasarkan mempunyai keperluan atau kehendak tersendiri,” katanya.

Katanya, pelanggan sasaran boleh dibahagikan berdasarkan geografi, jantina, taraf hidup dan umur.