Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, masalah sosial yang semakin ketara amat membimbangkan dan para pelajar perlu lebih ber­disiplin.

“Nasihat saya lakukan lima perkara ini, jika mahu keluar rumah maklumkan kepada ibu bapa, hormat kedua-dua ibu bapa, hormat orang tua dan guru serta jangan rosakkan harta benda awam.

“Saya mahu anak-anak di Put­rajaya menjadi contoh, ja­ngan rosakkan harta benda awam, harta kerajaan dan jangan bergaduh sesama sendiri, jangan sesekali lakukan perkara ing­kar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Pe­nyampaian Hadiah Pertandingan Persembahan dan Menghias Kelas sempena Bulan Kebangsaan di Sekolah Kebangsaan Presint 14 (1) di sini baru-baru ini.

Tengku Adnan yang juga Setiausaha Agung UMNO berkata, selepas kerajaan membenarkan pegawai pendidikan perkhidmatan siswazah Gred DG41 hingga DG48 melibatkan diri dalam politik pada 1 Ogos 2010, mereka dipelawa untuk membantu parti keramat bangsa Melayu itu.

“Parti ini (UMNO) kuat kerana guru-guru bersama kita dan jika mahu berkhidmat sebagai ketua cawangan, ketua pemuda, ketua wanita, ketua puteri, datanglah berjumpa dengan saya.

“Malaysia mempunyai rakyat berbilang kaum dan masa depan akan lebih terjamin jika para guru turut bersama membangunkan agenda bangsa negara,” katanya.