Apa tidaknya, selepas pelbagai ujian dan dugaan hidup dilalui terutama keguguran sehingga empat kali sewaktu mengandung, Mastura Abdul Rashid tidak menoleh ke belakang lagi.

Memilih untuk berhenti kerja dan menjadi suri rumah membuka peluang kepada Mastura untuk melakukan sesuatu bagi merubah kehidupannya.

Pernah mengalami kemurungan, Mastura mencari alternatif untuk pulih dan mujur ibunya memperkenalkannya herba yang sesuai untuk wanita berpantang.

Semakin pulih, Mastura terus aktif menjadikan bahan semula jadi dan organik sebagai asas untuk mengembangkan minat mendalamnya itu sebagai cabang perniagaan.

Mastura mula menjual produk seperti kulit kayu manis yang diimport dari Kepulauan Flores, daun Harimau Beranak untuk wanita selepas bersalin dan minyak argan secara dalam talian bermula tahun 2016.

Keghairahan Mastura terhadap dunia herba mendorongnya terus mengorak langkah melakukan pelbagai ujikaji dan penyelidikan mengenai khasiat herba yang terdapat di Asia dan barat.

Apa yang penting, Mastura mahu produk yang dihasilkannya bebas bahan kimia merbahaya terhadap tubuh badan manusia.

Seterusnya, Mastura mula terfikir untuk menghasilkan produk penjagaan muka dan badan.

Hasil penyelidikan di rumahnya, Mastura kini berjaya melancarkan rangkaian produk yang bebas bahan kimia dan lebih semula jadi.

Kajian dan penyelidikan serta eksperimen demi eksperimen dilakukan sendiri oleh Mastura mengambil masa sehingga berbulan-bulan untuk mendapatkan hasil yang benar-benar memuaskan hatinya.

Menurut Mastura, dia mencipta formula dan melakukan ujian keberkesanan untuk mengenal pasti tahap kesesuaian terhadap tubuh badan seseorang.

“Saya belajar dalam kelas aliran sains sewaktu di sekolah dahulu. Minat terhadap bahan-bahan herba ini telah lama wujud dalam diri saya.

“Malah, saya berangan-angan menjadi seperti ahli sihir yang mempunyai pelbagai posyennya,” katanya kepada S2.

Menggunakan jenama The Alchemist’s Craft by Mastura Rashid, beliau telah menghasilkan produk penjagaan kecantikan muka dan badan seperti pelembap bibir, pembersih muka serbuk cacao yang diimport dari Peru, kit penjagaan rambut serta set penjagaan muka.

Katanya, selain herba tempatan, beliau turut mengimport herba dari luar negara seperti Peru, Amerika Syarikat, Mexico, United Kingdom dan Perancis.

Selain menghasilkan produk berasaskan herba, Mastura kini menjalankan kelas tutorial mengenai penggunaan dan penghasilan produk dari bahan-bahan herba secara dalam talian.

Katanya, kelas itu diadakan empat kali setahun iaitu pada Februari, April, Ogos dan Oktober.

Menurut Mastura, sambutan yang diterima begitu menggalakkan, sekali gus membuktikan kesedaran orang ramai terhadap produk dengan bahan kandungan selamat semakin meningkat.

“Saya mengimpikan agar masyarakat kita lebih terdidik dengan penggunaan bahan yang bebas kimia, lebih semula jadi dan organik. Maka dengan cara ini, sudah tentu kita dapat mencegah pelbagai penyakit yang berpunca daripada bahan kimia di dalam produk seharian yang digunakan,” katanya.

Melalui Facebook, Mastura yang juga ibu kepada empat cahaya mata itu tidak pernah jemu memberikan pelbagai tips dan panduan mengenai herba yang terdapat di sekeliling rumah mengenai khasiat serta cara penggunaan kepada masyarakat.