Program yang julung kalinya dianjurkan oleh syarikat pengeluar minuman bumiputera, PS Food & Beverages Sdn. Bhd. (PSFB), dengan kerjasama Utusan Melayu (M) Berhad itu bertujuan untuk memupuk budaya keusahawanan dalam kalangan pelajar di negara ini.

Pengurus Besar PSFB, Adilah Shuib berkata, program itu memberi penekanan kepada peserta tentang selok-belok bidang keusahawanan bermula dari proses mengenal pasti bidang perniagaan, perancangan, pemasaran selain meneroka peluang-peluang pembangunan perniagaan.

“Bagi kami ini adalah peluang untuk berkongsi ilmu dan me­nyalurkan maklumat tentang keusahawanan kepada bakal-bakal usahawan negara.

Ini sekali gus akan memberi pendedahan dan menarik minat mereka untuk menceburi bidang keusahawanan sejajar dengan hasrat kerajaan.

“Dalam program hari ini, hampir 100 pelajar dan guru dari 25 sekolah di sekitar daerah Petaling terlibat dan selepas ini kita ada 25 lagi program sama yang akan diadakan di seluruh negara,” katanya ketika ditemui dalam program itu.

Yang turut hadir Pengurus Pembangunan Perniagaan PSFB, Nurfatin Diana Mohd. Zain dan Penolong Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Mohd. Hassan Mohd. Noor.

Sementara itu, seorang peserta yang juga guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Desaminium, Seri Kembangan, Nor Hafiza Ibrahim, 38, menyifatkan program itu memberi motivasi kepada pelajar untuk menceburi bidang keusahawanan.

“Program ini sangat baik kera­na memberi pendedahan awal kepada pelajar tentang perniagaan, sekali gus menarik minat mereka untuk menceburi bidang ini.

“Sebagai guru yang menguruskan koperasi sekolah pula, program ini dapat membantu untuk menaikkan jualan koperasi sekolah,” jelasnya.

Seorang lagi peserta, Amer Haikal Hairul Hisham, 16, pelajar Sekolah Menengah Seksyen 24 di sini turut mengakui program itu memberi banyak manfaat kepada peserta.

“Banyak maklumat, antaranya tentang bagaimana untuk memulakan perniagaan, ciri-ciri usahawan yang dikongsikan oleh tenaga pengajar mahir.

“Ini sekali gus akan membuka minda terutamanya kepada pelajar untuk menceburi bidang keusahawanan,” ujarnya.