HAMDAN YUSOP
HAMDAN YUSOP

Tetapi ia seolah-olah ‘mati’ apabila lebuh raya itu siap pada 2004 kerana sudah tidak banyak kenderaan melalui jalan lama yang melalui pekan itu.

Bagaimanapun sejak kebelakangan ini, Karak bagaikan menerima nafas baharu apabila mula menjadi tarikan orang luar yang sering berkunjung ke situ untuk dua perkara.

Satu, kerana mahu membeli dan merasai durian segar dari ladang yang dijual di sekitar pekan itu. Kedua, ada satu lagi tarikan yang kini mula mendapat tempat di hati para penggemar industri agro pelancongan iaitu penanaman halia Bentong di sekitar kawasan Gunung Karak.

Menurut Ketua Kampung Tok Muda Haji Muhammad, Karak, Pahang, Hamdan Yusop, halia Bentong mula ditanam di kawasan tanah berkelompok milik 85 penduduk kampung itu dengan bantuan dan bimbingan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

Sejak Disember 2016, tanah yang keseluruhannya berkeluasan 74.86 hektar itu dibuka untuk tanaman getah secara berkelompok dan halia sebagai tanaman sampingan.

“Pada mulanya, saya memberi cadangan agar halia Bentong ditanam sebagai tanaman sampingan memandangkankawasan ini berbukit-bukau dan sejuk seperti di Bukit Tinggi.

“Jadi saya berjumpa dengan salah seorang pemilik ladang halia di Bukit Tinggi bagi mendapatkan pandangan dan tunjuk ajar serba-sedikit. Kemudian, kami membeli 2,000 kilogram halia di sana untuk dijadikan anak benih,” katanya.

Kata Hamdan, apabila tanaman mula menjadi, pihak Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK)memberi nama jolokan Halia Gunung Karak agar lokasi itu memberi sedikit kelainan dengan ladang di Bukit Tinggi.

Katanya, setelah penamanan fasa pertama pada tanah berkeluasan tidak lebih satu hektar menghasilkan tuaian halia sebanyak 10 tan, JKKK kampung itu mula mengatur strategi untuk mengembangkan potensi tanaman halia itu ke skala yang lebih besar.

“Halia ini tanaman yang amat mudah ditanam. Di ladang ini, boleh dikatakan halia yang ditanam adalah organik kerana tiada baja mahupun racun kimia digunakan. Tanaman ini juga mudah dijaga dan sukar terkena penyakit.

“Penduduk kampung pula kini selesa mengerjakan projek ini kerana tanaman ini tidak cerewet. Walaupun mengambil masa sehingga 10 bulan untuk matang dan dituai, halia jenis ini memberi pulangan yang berbaloi. Jadi kami sedang berusaha untuk memperluaskannya untuk tujuan komersil,” katanya.

Menurut Hamdan, walaupun belum berupaya mengeluarkan hasil tanaman bagi memenuhi permintaan pasaran yang tinggi buat masa ini, halia Bentong yang ditanam di situ mampu menjana pendapatan lumayan buat peserta projek dan penduduk kampung secara amnya melalui strategi yang berbeza.

“Melalui sektor agro pelancongan, kami tidak putus-putus menerima kunjungan dan lawatan daripada pelbagai lapisan masyarakat yang mahu menyaksikan dan merasai sendiri pengalaman berada di ladang halia.

“Ada yang tidak kenal rupa pokok halia, apatah lagi varieti ini. Jadi kami sediakan perkhidmatan membawa mereka ke ladang ini melihat sendiri bagaimana halia jenis ini ditanam dan menikmati sendiri perbezaan halia ini berbanding varieti yang biasa,” katanya.

Katanya, dalam tempoh setahun ini, pihaknya telah menerima begitu ramai pengunjung dari dalam dan luar negara termasuk dari Singapura, Taiwan dan Hong Kong.

Pengunjung terutama yang berketurunan Cina yang dikenali gemar dengan herba halia paling ramai mengunjungi ladang itu terutama ketika musim cuti sekolah.

Selain halia, kawasan Gunung Karak juga menawarkan produk agro pelancongan lain seperti pakej menikmati waktu matahari terbit dari puncak setinggi 300 meter, melawat kawasan Air Terjun Gunung Karak dan mendaki ke puncak Gunung Karak setinggi 800 meter.

Bagi orang ramai yang ingin berkunjung ke kawasan itu, mereka perlu terlebih dahulu menghubungi dan berurusan dengan JKKK Kampung Tok Muda Haji Muhammad memandangkan lokasi itu adalah milik orang perseorangan.