Pengasasnya, Akmal Mohd. Akhir, 29, berkata, minat mendalam terhadap bidang tersebut mula membuahkan hasil apabila perniagaan yang mula diusahakan sejak lima tahun lalu membawa pulangan keuntungan sehingga RM20,000 sebulan.

“Saya mulakan perniagaan ini di jalanan dekat Kulim, Kedah dan lama-kelamaan, apabila saya sudah mempunyai pelanggan tetap, saya membuka premis perniagaan sendiri dengan mengambil pekerja seramai dua orang sahaja.

“Dengan perkhidmatan gun­ting rambut yang berkonsepkan klasik Inggeris ini, saya berharap beberapa cawangan dapat dibuka pada masa akan datang seterusnya meluaskan perniagaan ini ke peringkat antarabangsa,” katanya ketika ditemui pada KUD 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

Tambah Akmal, pelanggan yang sering diterima adalah mereka yang berumur 40-an dan potongan rambut yang sering diminta adalah gaya rambut barat seperti executive contour dan taper.

“Di samping itu, pekerja memakai kot dan tali leher ketika menjalankan tugas adalah salah satu keunikan yang dapat dilihat di kedai kami.

“Saya juga memasarkan produk minyak rambut atau pomade yang dihasilkan sejak 2014 tanpa menggunakan bahan seperti gelatin,” katanya.