Pengarah Unit Strategi Nasional (NSU), Datuk Dr. Aminuddin Hassim berkata, GREAT 2017 merupakan usaha bersama antara Kementerian Kewangan, kerajaan kerajaan negeri dan agensi agensi kerajaan bagi melengkapkan ekosistem keusahawanan, memperhebat dan melonjakkan sektor keusahawanan ke tahap yang lebih baik.

Katanya, penganjuran GREAT 2014 dan GREAT 2016 berjaya menghimpunkan usahawan tempatan dalam usaha memantapkan dan memberi dorongan kepada mereka untuk berjaya.

“Antara objektif program GREAT ialah untuk menghapuskan jurang antara usahawan dengan pihak kerajaan, agensi dan sektor swasta yang lain, seterusnya memberi lebih banyak ruang pasaran bagi usahawan.

“Harapan saya untuk GREAT 2017 ini adalah supaya para usahawan dapat bersama menyertai program dan aktiviti yang disediakan dan menggunakan sepenuhnya semua peluang yang ada bagi meningkatkan perniagaan mereka ke tahap yang lebih baik,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC), Ashran Ghazi berkata, ekosistem keusahawanan tempatan yang diwujudkan mampu menyediakan peluang perniagaan lumayan berasaskan aktiviti ekonomi utama di Sabah.