Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ahmad Maslan berkata, setakat ini kementerian hanya mampu menaja kira-kira 500 peserta Tube setiap tahun dengan kos sebanyak RM10 juta.

Menurutnya, GLC mungkin boleh membiayai seramai 500 peserta lagi supaya hasrat mewujudkan lebih ramai usahawan terutama golongan muda berusia antara 18 hingga 30 tahun tercapai.

“Sejak diperkenalkan pada 2014, setiap tahun kita menyediakan peluang kepada 500 peserta untuk mengikuti latihan di bawah Tube di seluruh negara dan berjaya memulakan perniagaan masing-masing.

“Menerusi Tube, kita menyediakan pelbagai jenis bantuan kepada usahawan dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) termasuk di bawah Program Peningkatan Enterprise Bumiputera (BEEP),” katanya selepas program Klinik Usahawan Bumiputera Zon Utara di sini hari ini.

Tambah Ahmad, Tube berjaya melahirkan golongan belia yang berani menampilkan diri sebagai seorang bakal usahawan muda yang kreatif, mampu berdepan daya saing serta mempunyai semangat tinggi untuk berjaya.

Jelasnya, program itu juga menjadi landasan kepada usahawan-usahawan bumiputera mendapatkan dana serta modal memulakan dan menjalankan perniagaan mereka.

Selain Tube dan program Galakan Eksport Bumiputera, ujar Ahmad, SME Corp. Malaysia juga menerima peruntukan bagi melaksanakan Skim Peningkatan Kapasiti dan Keupayaan PKS sebanyak RM100 juta. - UTUSAN ONLINE