Ketua Pegawai Eksekutifnya, Jamal Nasir Othman berkata, GiatMara telah melahirkan 9,879 usahawan sehingga Ogos tahun ini sejak ditubuhkan 30 tahun lalu dengan 80 peratus daripadanya terlibat dalam bidang keusahawanan teknikal.

“Untuk membangunkan usahawan dalam bidang teknologi dan teknikal, kami melihat bahawa jaringan hubungan yang efisien dalam perniagaan atas talian dapat meningkatkan pendapatan usahawan sedia ada,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam majlis minum petang bersama rakan strategik dan usahawan serta majlis pertukaran perjanjian dan persefahaman kerjasama antara GiatMara, SME Corp dan Servis­hero.

Yang turut hadir Timbalan Ke­tua Pegawai Eksekutif GiatMara, Jabar Azman Jaafar; Pengarah Kanan Bahagian Khidmat Nasihat dan Sokongan Perniagaan SME Corp, Mohd. Rithaudden Makip dan Ketua Pegawai Eksekutif Servishero, Karl Loo.

Majlis itu diadakan sempena penganjuran Technofest dan Kon­­vensyen Usahawan Dalam Talian 2016 mulai 30 September hingga 2 Oktober ini.

Perjanjian kerjasama dengan SME Corp itu bagi membantu usahawan dari segi pembiayaan dan pengurusan perniagaan manakala Servishero pula menyediakan platform untuk perniagaan atas talian.

Sementara itu, Loo berkata, Ser­­vishero telah membantu 350,000 usahawan Malaysia, Singapura dan Thailand menggunakan perkhidmatan perniagaannya.