Pengurus Pentadbiran di sebuah syarikat pembinaan, Fatimah Abd. Rashid, 61, berkata, selain membuka peluang kepada pemilik perniagaan untuk bertemu dengan prospek masing-ma­sing, Konvenita ‘17 juga membantu usahawan wanita meningkatkan keyakinan diri.

“Konvensyen ini mempamerkan idea-idea terkini yang akan membantu pemilik perniagaan terutama mereka yang ingin menawarkan produk baharu dalam pasaran yang semakin mencabar,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia pada Konvenita ‘17 anjuran Persatuan Usahawan Wanita Bumiputera (Usahanita) di KL Gateway Mall, di sini hari ini.

Sementara itu pengusaha telur itik, Ida Yuzairina Mohd. Bakeri, 45, memberitahu, tujuannya menyertai Konvenita ‘17 bukan untuk mencari keuntungan semata-mata.

“Saya lebih berminat untuk membina rangkaian yang baik dengan usahawan-usahawan wanita lain dari seluruh negara,” jelasnya.

Selain itu pengusaha keropok, Hawa Abd. Rehman, 56, berkata, keahlian dalam Usahanita membolehkannya menerima pendedahan yang meluas dalam bidang perniagaan serta membantu produknya menembusi pasaran global dengan mudah.

Dalam pada itu Yang Dipertua Usahanita, Datuk Faridah A. Jabbar memberitahu, pihaknya menyasarkan kira-kira 40,000 orang akan mengunjungi Konvenita ‘17 yang bermula hari ini sehingga Ahad.

“Kita menyediakan lebih 200 gerai yang menjual hampir 90 peratus produk tempatan mulai 10 pagi hingga 10 malam,” katanya.