Mengambil contoh ‘kerepek durian’ di Thailand, Ketua Umno Bahagian Rantau Panjang, Datuk Abdullah Mat Yassim berkata, tidak mustahil produk kreatif dan nilai tambah seperti jem rambutan, duku dan langsat boleh dihasilkan daripada kutipan tanaman penduduk kampung.

“Tak susah. Daripada biar buah langsat, duku, rambutan ini jatuh jadi baja di tanah, elok FAMA buka kilang, hantar orang mereka masuk ke kampung dan beli buah-buahan daripada pokok-pokok yang mereka tanam di halaman rumah mereka.

“Ini secara tidak langsung boleh menambah pendapatan mereka,” katanya ketika ditemui Bernama selepas mengutarakan cadangan itu semasa membahaskan usul ekonomi pada Perhimpunan Agung UMNO 2015 di sini, hari ini.

Terdahulu, semasa perbahasan, Abdullah berkata Tabung Pendidikan 1 Bilion (TP1B) anjuran Persatuan Alumni UiTM Malaysia yang diumum April lepas perlu memberi keutamaan kepada pelajar miskin.

“Yang layak itu memang ramai, tapi biar kita pilih-pilih, beri kepada yang miskin dulu. Mereka ini, apabila tajaan tak ada mereka terpaksa pergi bank, jadi bank pula kenakan syarat-syarat pinjaman peribadi, jadi tak mampulah pelajar kita,” katanya.

TP1B diilhamkan oleh Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh pada 2014 bagi mengumpul RM1 bilion daripada para alumni UiTM yang bertujuan antaranya memberi biasiswa, bantuan kebajikan, penambahbaikan fakulti, menaja penyelidikan dan pembangunan.

Abdullah, yang berbahas hampir sepenuhnya dalam loghat Kelantan, turut mencadangkan agar elaun pembantu Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta JKKK Persekutuan dinaikkan. - BERNAMA