Demi meraih rezeki halal dan menambah pendapatan, Abdul Razak Ismail, 33, mengambil keputusan menceburi kerjaya jurugambar dasar laut sejak lima tahun lalu. Menariknya, promosi dan strategi pemasaran yang dilakukannya adalah secara dalam talian (online).

“Minat saya terhadap aktiviti selaman sudah lama bertapak dalam jiwa saya. Pada mulanya, saya lakukan secara suka-suka iaitu mengambil gambar hidupan dasar laut,” katanya kepada S2.

Strategi pemasaran secara dalam talian melalui laman sosial Facebook dengan nama Joe Starzz bermula selepas empunya diri menerima tempahan daripada sebuah produksi dokumentari dari China.

Khidmatnya diperlukan syarikat produksi yang ketika itu sedang membuat rakaman keindahan di Pulau Mabul dan Pulau Sipadan pada 2013.

“Bermula detik itu, saya aktif memuat naik gambar selaman dan hidupan dasar laut termasuk video di laman Facebook.

“Dari situ, saya mula menerima tempahan termasuk dari pelancong yang mahu menggunakan khidmat saya ketika mereka melancong ke Sabah,” ujarnya.

Menceritakan lanjut, Joe yang mesra ketika temubual memberitahu sejak menerima tempahan, dia memulakan aktiviti dengan memasarkan hasil ‘bidikan' di Facebook.

Katanya, setiap bulan, pasti ada tujuh hingga lapan kumpulan pelancong membuat tempahan untuk menggunakan khidmatnya mengambil video dan membidik gambar mereka di dasar laut.

“Bayaran yang dikenakan tidak terlalu mahal iaitu sekitar RM250 bagi setiap seorang hingga empat orang. Jika lebih, saya akan tambah RM50 untuk satu kepala,” katanya.

Tambahnya, setiap rakaman akan disunting dengan memuat masuk gambar, hidupan dasar laut serta lagu akan diselitkan ke dalam cakera padat video (VCD) sebelum diserahkan kepada pelanggan.

Anak jati Semporna itu berkata, dia mengambil masa satu hingga dua jam untuk membuat suntingan sebelum menghasilkan video dengan durasi minimum sembilan minit dan maksimum 12 minit.

“Saya memberi penekanan kepada aspek suntingan kerana kepuasan pelanggan keutamaan saya. Saya tidak mahu mereka menggunakan khidmat saya sia-sia,” katanya lagi.

Bagi Joe, bisnes dalam talian memberi impak positif kepada kehidupan dan pendapatan, sekali gus membantu meningkatkan taraf hidup.

“Ada kalanya tempahan secara online atau walk-in penuh pada bulan tertentu,” katanya.

Jika berminat mendapatkan perkhidmatan Joe, boleh menghubunginya di talian 019-7720097 atau laman Facebook Joe Starzz atau instagram @joestarzz.