Pengasas Eliss, Suhaili Mohd. Zain berkata, pihaknya menyasarkan sehingga 100 stokis di seluruh Malaysia, Brunei dan Singapura pada hujung 2018.

Katanya, syarikat sentiasa menghargai para stokis dengan menawarkan pelbagai hadiah menarik buat mereka yang berjaya mencatatkan jualan yang memberangsangkan.

Jelas beliau, pada tahun ini, Eliss menawarkan sebuah kereta Honda HRV untuk setiap stokis yang mampu menjual sebanyak 30,000 unit produk Leptos dan Qufast dalam masa setahun.

“Perodua Myvi akan diberikan kepada stokis yang menjual sebanyak 10,000 unit produk selain menyediakan pelbagai lagi ganjaran lumayan termasuk pakej percutian dalam dan luar negara, produk elektrik dan barangan kemas.

“Kami membawa konsep bahawa setiap usaha perlu diberikan penghargaan, setiap kejayaan akan disusuli dengan ganjaran,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Sejak Eliss menapak di pasaran tempatan pada 2014, jenama itu sehingga kini telah mengeluarkan sebanyak sembilan rangkaian produk kesihatan dan kecantikan.

Mengenai perancangan masa hadapan, Suhaili berkata, pihaknya akan membuka kedai cawangan pertama Eliss di Ipoh, Perak dalam masa terdekat.

“Selama dua tahun lebih di pasaran, kami hanya menjual melalui dalam talian sahaja, produk Eliss tidak diletakkan di mana-mana kedai jamu kerana kami ingin memastikan pengguna mendapat khidmat nasihat secara terus daripada ejen sah,” jelas beliau.

“Ini supaya pengguna juga mempunyai tempat untuk rujukan selepas produk dibeli sekiranya ada sebarang pertanyaan dan memerlukan penjelasan yang lebih lanjut,” jelas beliau.