Sekiranya ini dapat dilakukan, sudah tentu segala strategi kita akan dapat ditumpukan ke arah cara pembelian tadi. Bagi jenama-jenama besar, mereka menggunakan kepakaran teknologi seperti perisian pendengaran sosial atau social listening dan juga data analitik, dalam pencarian mereka.

Setelah kaedah tersebut ditemui, ia akan dimasukkan ke dalam kempen-kempen yang bakal mereka wujudkan selepas itu. Ini sedikit sebanyak akan menjanjikan kejayaan kerana mereka kini tahu di mana dan bagaimana untuk memanipulasi soft-spot bakal pembeli.

Bagi jenama kecil, tidak mengapa sekiranya anda tidak mampu menggunakan kaedah yang berteknologi tinggi. Anda boleh menggunakan lapan elemen psikologi ini untuk membantu melicinkan strategi pemasaran yang ada.

* Berjanji untuk memperoleh sesuatu (a promise to gain)

Kaedah ini paling kerap dilakukan oleh tidak kira jenama-jenama besar atau kecil. Mereka gemar menjanjikan hasil tertentu sekiranya produk mereka dibeli dan digunakan. Ayat-ayat yang menyatakan yang pembeli akan lebih kurus, lebih sihat, lebih terhibur, lebih pintar, lebih itu dan ini akan terpampang di bahan-bahan pemasaran yang ada. Mengapa mereka menggunakan elemen psikologi sebegini? Ini kerana, sesiapa sahaja inginkan diri mereka kelihatan atau berada dalam situasi yang lebih baik berbanding sebelumnya.

* Risau tentang kehilangan (fear of loss)

Para pembeli akan memberikan reaksi yang pantas sekiranya anda memberitahu mereka yang risiko kehilangan tertentu mungkin bakal berlaku jika produk atau perkhidmatan anda tidak dibeli segera. Contoh yang terbaik di sini ialah produk kecantikan dan perlin­dungan insurans atau takaful.

* Kesihatan

Kesihatan yang baik adalah jauh lebih penting daripada memiliki wang yang banyak. Gaya hidup yang lebih sihat, pemakanan yang lebih sihat, bersenam, melakukan aktivi­ti-aktiviti yang menyihatkan kini menjadi tumpuan hampir semua orang. Dengan produk atau perkhidmatan yang bakal membantu mereka agar lebih sihat, tidak mustahil ia akan dibeli tanpa berfikir panjang oleh orang ramai sekiranya ada dijual di mana-mana.

* Kekayaan

Sesiapa pun mahukan kehidupan yang lebih baik apabila melibatkan subjek kewangan. Malah dengan keadaan ekonomi dunia yang tidak menentu kini, pendapatan tambahan sering menjadi tumpuan sesiapa sahaja. Jadi sekiranya anda menggunakan elemen psikologi ke arah kekayaan, ia pasti akan menarik sesiapa sahaja kerana mereka amat memerlukannya untuk menampung kehidupan seharian mereka me­lalui produk atau perkhidmatan yang anda sediakan.

Hubungan, kebahagiaan dan kerohanian.

Para pengguna juga pasti akan teruja sekiranya kualiti hubu­ngan mereka di antara sesama manusia, mahupun dengan Yang Maha Esa boleh ditingkatkan melalui sesuatu produk atau perkhidmatan yang disediakan.

Kecantikan dan kebersihan.

Tidak semestinya produk atau perkhidmatan yang melibatkan kecantikan dan rupa paras diri sahaja, tetapi juga kecantikan halaman rumah, dalaman rumah, susunan perabot di pejabat, kereta dan sebagainya juga boleh terjual dengan baik kerana telah menjadi tabiat manusia yang mahu melibat diri mereka dan apa sahaja yang mereka ada untuk kelihatan sentiasa cantik dan bersih.

* Keselamatan

Tidak kira sama ada kese­lamatan diri kita sekeluarga secara fizikal, keselamatan identiti kita secara dalam talian dan juga keselamatan aset-aset kita, ini semua amat penting untuk kita pastikan agar mereka tidak jatuh ke tangan orang yang tidak sepatutnya. Jadi sekiranya produk atau perkhid­matan yang anda sediakan mampu menjanjikan keselamatan kepada kesemua ini maka ia pasti akan membantu menambahkan ciri-ciri keselamatan yang ada.

* Untuk memori

Masa berlalu dengan begitu pantas. Yang dahulu ada kini tiada, yang dahulu muda kini tua dan yang dahulu baharu kini kelihatan agak buruk. Sesiapa sahaja akan menghargai setiap memori yang mereka ada. Dan memori ini tidak sepatutnya hanya tinggal dalam fikiran ataupun menjadi kenangan. Ia sepatutnya dilakukan sesuatu agar terus mekar. Pasaran untuk produk atau perkhidmatan yang menjadikan memori agar lebih mudah diingati juga diantara yang amat-amat dikehendaki dan mempunyai pasaran yang luas terutamanya di Malaysia.

Padankan strategi pemasaran produk anda dengan psikologi atau cara pembelian dilakukan dengan baik. Anda akan dapat melihat proses penjualan akan menjadi lebih mudah dan pantas.

AZLEEN ABDUL RAHIM adalah 
Pakar Pemasaran Digital. Ikuti blog 
beliau di azleen.com