Merupakan sebuah syarikat bumiputera yang ditubuhkan pada Mac 2014, syarikat itu memberi peluang kepada usahawan dalam talian (online) baharu mendapatkan tapak atau bazar untuk bersemuka dengan pelanggan secara offline.

Melalui cara ini, usahawan bukan sahaja bertemu dengan pelanggan sedia ada, malah mengembangkan perniagaan dengan memfokuskan pelanggan yang berada berhampiran dengan tapak bazar, selain menarik perhatian pelanggan online yang baharu.

Eh Eh Bazaar! ditubuhkan sebagai syarikat pengurusan acara yang dikenali sebagai EEB. Lokasi bazar sedia ada kebanyakannya lebih tertumpu di sekitar Lembah Klang.

Ketua Pegawai Eksekutif Eh Eh Holdings Sdn. Bhd., Iffah Zaimi berkata, objektif penubuhan syarikat itu adalah mahu memberi ruang kepada usahawan dalam talian yang belum pernah menjual secara offline mencari pelanggan di luar rumah.

“Kebanyakan usahawan dalam talian hanya duduk di rumah untuk berniaga. Jadi, pihak kami memberi peluang kepada mereka membuka bazar di beberapa lokasi berbeza untuk mencari pelanggan secara offline.

“Ada antara usahawan dalam talian baharu yang segan dan malu untuk berniaga secara bersemuka. Namun, peluang berniaga di bazar akan membantu mereka bertemu dengan pelanggan secara lebih dekat. Contohnya jika peniaga tersebut menjual baju secara dalam talian, apabila berniaga secara offline, pelanggan boleh mencuba pakaian yang dijual,” katanya kepada S2.

Selain itu, peluang juga dibuka bagi menggalakkan aktiviti keusahawanan dalam kalangan belia bumiputera serta menyediakan lot-lot mampu milik kepada usahawan dalam talian.

“Jika sebelum ini ada peniaga dalam talian berasa bimbang risiko mendapatkan lot-lot bazar murah, namun peluang yang diberikan oleh EEB ini membolehkan mereka mendapatkan lot kedai dengan harga berpatutan,” katanya.

Iffah menambah, sebanyak 7,000 usahawan dalam talian menyatakan minat menyertai bazar tersebut manakala 2,600 daripada jumlah itu terlibat di lebih 50 bazar di seluruh negara.

Di samping itu, bagi usahawan yang berminat menyertai EEB, mereka akan diberi latihan, konsultasi, penyertaan bazar serta menyertai portal eebians.com dengan harga serendah RM50 sebulan.

Lebih menarik lagi, EEB buat julung kalinya bakal melancarkan EEB Mobile Boutique pada 16 Januari 2017 dengan konsep mengumpulkan semua produk usahawan di bawah satu bumbung tanpa perlu dijaga oleh usahawan tersebut yang akan berlangsung di pasar raya Mydin, Subang Jaya, Selangor.

“Memandangkan ruang dalam pusat beli-belah agak terhad untuk mengumpulkan lebih 50 usahawan, maka timbul idea EEB membantu usahawan menjual produk mereka seperti pakaian dan produk makanan,” katanya.

Konsep menjual produk usahawan dalam talian tersebut agak berbeza kerana usahawan tidak perlu turun padang untuk berniaga, sebaliknya mereka hanya perlu membayar yuran penyertaan sebanyak RM790 untuk tujuh hari berniaga di bazar tersebut dan wakil EEB akan menjual bagi pihak mereka.

“Cara ini juga memberi peluang kepada usahawan terbabit menjual produk mereka di bazar lain pada waktu sama,” katanya.