Pengerusi Biro Wanita DUID, Jamilah Abd. Rauf berkata, bagi tujuan itu pihaknya telah menjalin kerjasama dengan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (Utem) Holdings yang akan melaksanakan program latihan, khidmat nasihat serta merancang platform perniagaan sesuai bagi usahawan terlibat.

Beliau berkata, kerjasama itu mampu meningkatkan potensi sesetengah usahawan wanita luar bandar yang masih gagal melonjakkan perniagaan mereka walaupun telah beberapa tahun beroperasi.

"Kita memerlukan dana kira-kira RM4 juta bagi melaksanakan usahasama dengan Utem Holdings ini dalam usaha memperkasakan usahawan wanita luar bandar. Sudah tentu kita memerlukan sokongan dan bantuan daripada kerajaan dalam perkara ini," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) antara DUID dan Utem Holdings di sini hari ini.

Jamilah menandatangani MoA itu bagi pihak DUID manakala Utem Holdings diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nik Ahmad Fikri Nik Ismail. Yang turut hadir Presiden DUID, Datuk Jamaludin Mat Saad dan Setiausaha Agungnya, Othman Endut.

Menurut Jamilah, melalui usaha kedua-dua pihak tersebut, usahawan wanita luar bandar akan diberi bimbingan dan bantuan sewajar­nya dalam pelbagai aspek keusahawanan sehingga mereka boleh berdikari dalam menjalankan perniagaan masing-masing.