Pernah ditipu, mengalami kerugian, perniagaan ditutup, tidak menjadi, ketiadaan pembekal, itu semua telah dialami empat anak muda ini sejak bergelumang dengan dunia perniagaan sebaik sahaja tamat pengajian di universiti tujuh tahun lalu.

Bagi Ketua Pegawai Eksekutif Emzi Holding Sdn. Bhd., Mohammad Faizal Zainon, 29, apa dilalui bersama tiga rakannya dalam usaha membina sebuah empayar perniagaan bukan sesuatu yang mudah.

“Pernah suatu ketika, kami berempat terpaksa menjamah mi segera kerana sudah tiada duit untuk makan. Namun, semangat untuk terus berniaga tetap kuat di dalam hati.

“Niat kami adalah mahu berniaga kerana Allah. Kami sedar berniaga kena betul niatnya,” katanya ketika ditemui S2.

Kata Mohammad Faizal, selepas dia dan rakan-rakan, Abdul Fatah Md. Eusoff, 29, Zahran Yahya, 28, dan Ahmad Amir Asyraf Ahmad Munir, 26, tamat pengajian di universiti, mereka mula melalui liku-liku kehidupan yang pelbagai untuk sampai ke tahap sekarang.

Keempat-empat mereka pernah menjalankan perniagaan membekal cenderamata dan peralatan sukan, membuka restoran dan menjual kemeja jenama sendiri. Katanya, semua itu membuka mata bahawa bukan mudah untuk mengecapi kejayaan dengan usaha sendiri.

Namun, perit jerih mereka membuahkan hasil pada akhirnya. Empat anak muda itu kini boleh berbangga dengan produk penjagaan lelaki, XGene yang sudahpun menempa nama di negara ini, malah bakal menyusul di peringkat antarabangsa.

“Bukan mudah menjual produk penjagaan lelaki. Ramai yang ingat ia ubat kuat. Tetapi kami lalui cabaran itu. Kami lakukan secara profesional.

“Sebelum menghasilkan XGene, penyelidikan dan ujian klinikal teliti telah dilakukan, hasil formulasi Pakar Sakit Tuan, Dr. Mohd. Ismail Mohd. Tambi. Produk ini juga telah mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan. Setelah tiga tahun melalui fasa itu, usaha kami membuahkan hasil,” katanya.

Mohammad Faizal yang merupakan anak yatim piatu berkata, kekentalan semangat dia dan rakan-rakan melalui pelbagai dugaan itu adalah hasil dan berkat doa serta restu ibu bapa mereka sendiri.

“Saya hidup susah sejak kecil. Itu menjadi pemangkin buat semangat saya dalam dunia perniagaan ini. Selain itu, sebelum ibu saya meninggal dunia pada Ramadan lalu, saya sentiasa meminta doa dan restunya setiap kali mahu memulakan sesuatu.

“Kami juga sentiasa ingat bahawa setiap kerugian mahupun dugaan yang dihadapi sebelum ini adalah ‘yuran pembelajaran’ untuk kami dalam dunia berniaga,” katanya.

Katanya, kira-kira 200,000 unit produk XGene telah terjual secara dalam talian sejak dilancarkan pada April 2014.

“Syarikat kini mengorak langkah menampilkan satu lagi produk terbaharu, Emlac Lactogenic Juice, khas untuk ibu-ibu yang menyusukan anak.

Mohammad Faizal berkata, produk keluaran syarikat itu bersama rakan-rakannya telah mula dipasarkan dan bakal diperluaskan ke seluruh negara.

Namun, pelanggan perlu mendapatkan khidmat nasihat daripada syarikatnya melalui laman Facebook EMLAC Lactogenic Juice untuk kesesuaian sebelum menggunakan produk tersebut.